PPST UMS terima 293 pelajar baharu Asasi sesi 2022/2023
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PPST UMS terima 293 pelajar baharu Asasi sesi 2022/2023


Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin mengambil gambar kenangan bersama pelajar baru PPST UMS.

10 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima seramai 293 pelajar Asasi pada pengambilan pertama sesi kemasukan 2022/2023.


Pengarah PPST, Prof. Dr. Jumat Sulaiman berkata, jumlah tersebut dijangka meningkat selepas sesi pendaftaran pelajar rayuan pada 29 Ogos 2022.


“Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya diterima sebagai pelajar Asasi UMS bagi sesi ini.


“Sudah pasti ini merupakan suatu pengalaman baharu bagi para pelajar kerana suasana pembelajaran di dalam kampus adalah berbeza berbanding ketika berada di sekolah menengah.


“Oleh yang demikian, saya ingin berpesan agar para pelajar menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menuntut ilmu sekali gus berusaha untuk menggapai cita-cita dan menjadi seorang pelajar yang cemerlang sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda kelak,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Program Asasi Bagi Sesi 2022/2023 di Dewan Resital, di sini, hari ini.


Menurut Jumat, semua pelajar Asasi PPST berpeluang melanjutkan pengajian ke fakulti UMS yang menawarkan program-program berteraskan Sains dan Teknologi.


“Justeru, saya ingin menyeru kepada semua pelajar untuk menjadikan Pusat Asasi ini sebagai landasan persediaan sebelum menempuh pengajian yang lebih tinggi.


“Usahakan untuk menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan untuk bekalan ke peringkat seterusnya. Semoga semua pelajar Asasi UMS akan terus maju jaya,” katanya.


Untuk rekod, PPST menawarkan dua program asasi iaitu Program Pengajian Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat.


Sehingga tahun 2021, pusat itu telah berjaya melahirkan 2,697 graduan Asasi.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page