top of page
  • Wartawan Nabalu News

Presiden UPKO sambut baik kesungguhan Kerajaan Perpaduan tangani isu berbangkit MA63


12 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick menyambut baik komitmen dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan menangani isu-isu berbangkit berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Beliau berkata ini terbukti menerusi beberapa inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan isu berkenaan.


Katanya, ini termasuk pelonggaran peraturan perolehan dan penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah pada Januari 2023 dan penyerahan kuasa kawal selia elektrik dijangka dapat dimuktamadkan menjelang Januari 2024.


"Melalui penyerahan kuasa ini, Kerajaan Negeri Sabah memiliki wewenang untuk mengawal selia bekalan gas dan elektrik berdasarkan kepentingan negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12: 2021 - 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kerajaan persekutuan juga komited untuk melaksanakan projek pembangunan sistem TBB dan menaik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan FELDA Sahabat Lahad Datu, Sabah.


“Ini bertujuan menambah baik daya harap bekalan elektrik di Sabah, katanya.


Projek yang menekan belanja sekitar RM195 juta itu dijangka memanfaatkan rakyat di kawasan tersebut dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).


Sabah mempunyai potensi yang besar dalam penjanaan TBB berasaskan solar dan biojisim bagi menangani tantangan dalam keperluan bekalan tenaga dan elektrik pada masa hadapan.


Ketika membentangkan kajian semua RMK-12, Perdana Menteri mengumumkan bahawa lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah akan dilaksanakan di Sabah.


Sehingga kini, sebanyak 43 projek sedang dalam pelaksanaan di Sabah.

Comments


bottom of page