Prestasi perdagangan separuh pertama bukti ketahanan Malaysia - Tengku Zafrul
- nabalunews
- Jul 22, 2025
- 1 min read

22 Julai 2025
PUTRAJAYA: Peningkatan nilai kumulatif perdagangan tertinggi dalam sejarah sebanyak 4.8 peratus kepada RM1.465 trilion pada separuh pertama 2025 mencerminkan kekuatan dan ketahanan kedudukan perdagangan luar Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata eksport Malaysia dalam tempoh tersebut turut meningkat 3.8 peratus kepada RM760.2 bilion.
“Lebih menarik, lebihan dagangan Malaysia melonjak kepada RM8.59 bilion pada Jun 2025, berbanding RM759.9 juta yang direkodkan pada Mei 2025, menandakan bulan ke-62 berturut-turut di mana lebihan dagangan dicatatkan sejak Mei 2020,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, faktor utama yang memacu eksport pada Jun termasuk eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, yang mencatatkan pertumbuhan dua auntuk 15 bulan berturut-turut.
Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan ini turut disokong oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).
“Pertumbuhan E&E ini sejajar dengan unjuran World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) bagi peningkatan jualan semikonduktor global sebanyak 11.2% pada tahun 2025.
“Kita juga melihat peningkatan eksport yang memberangsangkan ke pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Taiwan, dan Mexico,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sentiasa komited untuk membina ekosistem perdagangan yang lebih kukuh dengan mempelbagaikan pasaran eksport dan memperkukuh hubungan perdagangan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).















Comments