Prihatin Tanpa Sempadan: Bantuan Katil Sampai ke Botung Narinang
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

22 Mei 2025
KOTA BELUD: Kelab Kebajikan Kadamaian (KKK), dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, melaksanakan satu lagi tanggungjawab sosial dengan menyerahkan sebuah katil boleh laras kepada seorang warga emas uzur di Kampung Botung Narinang, semalam.
Penyerahan tersebut diketuai Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Joel Deukin bersama kakitangan pejabat ADUN Kadamaian, Shainim Epin.
Joel menjelaskan bantuan ini merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat (YBR), sebuah agensi di bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi Malaysia yang diterajui oleh Datuk Ewon Benedick selaku Menteri dan ADUN Kadamaian.

Menurutnya lagi, program yang dikenali Program 'I Care Kadamaian' yang diselaraskan oleh pejabat ADUN Kadamaian bersama KKK ini merupakan inisiatif Ewon sejak beliau menjadi ADUN Kadamaian dari tahun 2018.
“Proses penghantaran ke rumah penerima, Salimin Lausin, tidaklah mudah. Krew KKK terpaksa mengangkat katil merentasi jambatan gantung kerana kenderaan tidak dapat melalui laluan menyeberangi Sungai Kadamaian. Walau bagaimanapun, tugasan tersebut berjaya dilaksanakan dengan kerjasama ahli keluarga penerima.
Bagi pihak ADUN Kadamaian, Joel menyampaikan salam dan doa daripada Ewon kepada Salimin dan ahli keluarganya. Beliau berharap agar segala urusan mereka dipermudahkan dan diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan.
Shainim ketika ditemui, menjelaskan bahawa walaupun laluan mencabar, komitmen terhadap amanah dan kepentingan kebajikan masyarakat menjadikan usaha itu sesuatu yang amat bermakna.
“Kami tetap teruskan walaupun terpaksa mendukung dan memikul katil menyeberangi jambatan gantung. Ini adalah amanah yang wajib ditunaikan,” ujarnya.
Salimin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas bantuan yang diterima, yang menurutnya amat membantu dari segi keselesaan dan rawatan harian.
Inisiatif ini sekali gus menggambarkan keprihatinan berterusan kerajaan negeri melalui wakil rakyat dan agensi berkaitan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan warga emas dan kurang berkemampuan, sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
Comentarios