Program “Anak Jati Luba – Back To The Roots” Kukuhkan Semangat Kekeluargaan di Kota Marudu
- nabalunews
- 8 hours ago
- 2 min read

4 November 2025
KOTA MARUDU: Program berkonsepkan kekeluargaan dan komuniti bertajuk “Anak Jati Luba – Back To The Roots” telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Terbuka Kampung Luba Polumpung, Kota Marudu pada 3 November lalu. Program tersebut dianjurkan oleh Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Bandau di bawah Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu, Suzie Salapan.
Suzie dalam ucapannya menyatakan rasa syukur kerana hasrat yang telah lama terpendam akhirnya berjaya direalisasikan.
“Syukur, puji Tuhan. Niat yang lama terpendam akhirnya terlaksana hari ini untuk kembali dan menyampaikan kepada keluarga isi hati yang sebenar-benarnya,” katanya dengan penuh rasa terharu.

Walaupun persiapan hanya dibuat dalam tempoh tiga hari, program tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar serta mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung, ahli keluarga, dan komuniti setempat.
Suzie turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli keluarga besar di Kampung Luba atas komitmen dan sokongan padu yang diberikan.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada keluarga besar saya di Luba – datuk, nenek, pakcik, makcik, serta semua saudara mara yang dekat mahupun jauh. Bantuan dan sokongan kalian amat bermakna dan menguatkan langkah saya hari ini,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir, termasuk sahabat handai serta ahli pasukan UPKO CLC Bandau dan UPKO Kota Marudu yang memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program tersebut.
“Tidak mampu saya balas satu persatu, hanya doa agar Tuhan terus melimpahkan berkat dan kasih-Nya kepada kita semua,” tambah beliau.
Suzie menjelaskan bahawa program berkenaan bukan sekadar himpunan kekeluargaan, tetapi turut menjadi simbol penghargaan terhadap akar budaya serta warisan yang membentuk identiti komuniti Kampung Luba.
“Kerinduan kepada datuk dan nenek sedikit terubat hari ini. Melihat wajah-wajah tua yang masih tersenyum membuat hati saya sebak, seakan mereka menitipkan restu dari yang sudah tiada,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan program ini sebagai satu peluang untuk kembali ke asal usul dan memahami makna perjuangan hidup yang sebenar.
“Terima kasih Tuhan kerana mengizinkan saya pulang, bukan sekadar ke kampung halaman, tetapi kembali kepada asal usul dan makna perjuangan yang sebenar. Ia mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak yang membentuk siapa diri saya hari ini,” katanya.
Program “Anak Jati Luba – Back To The Roots” secara keseluruhannya berjaya mencapai matlamat penganjurannya, bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga besar Kampung Luba, tetapi juga mempererat semangat perpaduan serta kecintaan terhadap warisan dan budaya setempat.


















Comments