Program Dialog Inspirasi Tarik 60 Peserta, Perkasa Pendidikan Belia Tambulion Ulu
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 11 Ogos – Program Dialog Inspirasi: Peluang Pendidikan Tajaan Yayasan Sabah yang berlangsung di Dewan Terbuka Kampung Tambulion Ulu pada 8 Ogos lalu berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa generasi muda dengan maklumat berkaitan peluang sambung belajar serta kesedaran kepentingan pendidikan.
Program anjuran Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Utara dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), serta Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud itu disertai hampir 60 orang peserta.
Sepanjang program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu, para peserta mengikuti pelbagai pengisian bermakna termasuk taklimat daripada urus setia Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dan Bahagian Pembangunan Pendidikan, sesi dialog bersama KYS dan University College Sabah Foundation (UCSF), serta ceramah kesedaran bahaya dadah oleh AADK dan ceramah penjagaan kesihatan mental oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud.
Peserta program terdiri daripada pelajar bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), lepasan SPM dan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), serta golongan belia daripada lapan buah kampung sekitar. Kehadiran menggalakkan itu menunjukkan kesedaran tinggi komuniti setempat terhadap pembangunan modal insan.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Pentadbir Zon Yayasan Sabah, Adman Hj Samat. Turut hadir ialah Pengerusi Pelaksana, Dayang Sapiah Abrian @ Aprain, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud, Mohd Nasir Adli Zainuddin, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Handly Sekukut, serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambulion Ulu, Boniface @ Doni Jiran.
Mengulas mengenai program tersebut, Boniface berkata inisiatif ini bukan sahaja berjaya menyampaikan informasi pendidikan malah turut mengeratkan hubungan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
"Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi pembangunan modal insan di Kampung Tambulion Ulu," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) Pantai Barat Utara serta mengucapkan tahniah kepada Pengerusi KRT, Handly Sekukut dan jawatankuasanya atas dedikasi menyediakan tempat serta kerjasama erat bersama semua agensi yang terlibat bagi menjayakan program tersebut.















Comments