Program I Care Kadamaian: Ringankan Bebanan Warga Emas dan OKU di Kota Belud
- nabalunews
- Apr 29
- 1 min read

29 April 2025
KOTA BELUD: Program I Care Kadamaian (Saya Peduli Kadamaian) telah diadakan di tiga kampung sekitar Kota Belud iaitu Kampung Bukid, Kampung Pinolobu, dan Kampung Ratau.
Program ini berlangsung mulai pukul 8.00 pagi dan dijalankan sehingga selesai, dianjurkan oleh Kelab Kebajikan Kadamaian dengan kerjasama Crew Homeward Staff dan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian.
Tujuan utama program ini adalah untuk membantu golongan warga emas serta orang kelainan upaya (OKU) di kawasan tersebut melalui pemberian alat bantuan perubatan yang diperlukan.

Antara penerima manfaat termasuklah Dusun Bin Kampoyoh dari Kampung Bukid yang berstatus warga emas; Suking Kumbaron dari Kampung Pinolobu yang menghidap strok dan sawan; serta Victor Duni yang merupakan OKU fizikal.
Selain itu, Sabrina Modili dari Kampung Ratau yang menghidap Cerebellar Ataxia turut menerima bantuan berupa kerusi boleh laras.
Sumbangan alat bantu seperti katil boleh laras dan kerusi boleh laras ini diperoleh daripada program khidmat sosial CSR Yayasan Bank Rakyat, yang merupakan salah satu inisiatif Datuk Ewon Benedick untuk membantu masyarakat di Kadamaian.

Diharapkan, bantuan ini dapat meringankan beban penerima dan keluarga mereka, serta memberi peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa dan bermakna.
Melalui program ini, Kelab Kebajikan Kadamaian berharap agar bantuan yang disalurkan dapat memberi impak positif kepada penerima serta meningkatkan kualiti hidup mereka.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen kerajaan dan pelbagai pihak dalam usaha memajukan dan memerkasakan komuniti di Kadamaian.
Comments