top of page
  • Wartawan Nabalu News

Program "I P.L.A.N.T." dilancarkan, inisiatif dalam memulihara alam sekitar

4 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pelancaran program "I P.L.A.N.T." (Inisiatif Penghijauan Lestari Aspirasi Negeri Taman Terindah) telah dilancarkan oleh Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih, di tapak Ramsar Wetland Kota Kinabalu, Likas pada hari ini.


Menurut Isnin, program ini dijalankan sebagai satu inisiatif dan langkah proaktif untuk memulihara alam sekitar di peringkat sekolah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi kerajaan dan swasta.


Tambah beliau, pelaksanaan program ini adalah bagi menyokong hala tuju yang dinyatakan di dalam The 2030 Agenda For Sustainable Development, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025, Dasar Landskap Negeri Sabah serta Inisiatif KKTP Ke Arah Masyarakat Rendah Karbon.


"Kesedaran yang ingin diterapkan amat jelas iaitu untuk memelihara alam dan persekitaran semulajadi adalah satu tanggungjawab persendirian dan kolektif, serta tanggungjawab yang perlu berterusan dalam apa keadaan sekalipun," katanya.


Program penanaman pokok adalah di dalam kawasan Tapak Ramsar Kota Kinabalu Wetland, Likas yang berkeluasan kira-kira 24.0 hektar.


Pada umumnya, hutan bakau termasuk dalam kategori tanah lembap yang berfungsi melindungi pinggir pantai, mengurangkan kadar hakisan dan menjadi habitat bagi hidupan akuatik.


Melalui program ini juga, inisiatif penanaman ini membantu sasaran negeri dalam mencapai jumlah penanaman pokok sebanyak 1.3 juta pada tahun 2033.


Isnin berharap program itu dapat diadakan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penghijauan dalam usaha mengurangkan pemanasan global dan ancaman perubahan iklim.


Sebanyak 100 paya bakau spesis Rhizophora apiculata telah ditanam oleh seramai 60 peserta yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Landskap KKTP pada pelancaran program tersebut.


Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap II KKTP, Faridah Giau; wakil Sabah Wetlands Conversation Society, Mohd. Nurazmeel Moktar; Arkitek Landskap, Nurulhayati Awang More; Pengerusi Penganjur, Datuk Ar Hj. Shahriman Abdullah; dan para pegawai KKTP.

bottom of page