Program Jahitan Anjuran Agensi KUSKOP Perkasa Wanita Kampung Kiau Taburi
7 Disember 2024
KOTA BELUD: Kemahiran menjahit serta asas keusahawanan bagi 21 wanita dari Kampung Kiau Taburi di sini dimantapkan lagi menerusi penganjuran Program Pembangunan Komuniti Perusahaan Sosial Tukang Jahit di kampung berkenaan oleh dua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
Program selama dua hari ini berlangsung pada 5 dan 6 Disember di Dewan Komuniti Kiau Taburi.
Hari pertama program memfokuskan pengenalan jahitan Skirt Pario, manakala hari kedua melibatkan jahitan Blouse dan asas keusahawanan bagi memberi perspektif menyeluruh tentang potensi perniagaan.
Tenaga pengajar program terdiri daripada lima pakar jahitan dan keusahawanan daripada Give 1 For Two Sdn Bhd (GIFT) iaitu Zee Shazila, Rose Aniu, Harinah Madaan, Joniah Gomihod dan Ivy Jessica Liew.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiau Taburi, Stefban Sindeh, berkata kursus ini bertujuan membantu peserta menjana pendapatan melalui jahitan pakaian dan kraf.
“Objektif utama program adalah memberikan kemahiran asas kepada wanita di kampung ini, supaya mereka mampu mengambil tempahan jahitan seperti blouse dan skirt. Kami berharap peserta dapat mempraktikkan ilmu yang diperoleh dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan,” kata Stefban.
Sebagai motivasi tambahan, kesemua peserta turut menerima peralatan asas menjahit secara percuma hasil sumbangan SME Bank dan TEKUN Nasional.
Stefban berharap program ini dapat meningkatkan keyakinan dan keberanian peserta untuk memulakan perniagaan sendiri selepas tamat kursus.
“Ilmu ini bukan hanya untuk kegunaan sendiri, tetapi berpotensi mengangkat ekonomi keluarga dan komuniti,” tambahnya.
Bagi peserta kursus, program ini membuktikan komitmen SME Bank dan TEKUN dalam memperkasakan wanita luar bandar melalui pendidikan dan sokongan keusahawanan.
Bagi mereka, inisiatif seperti ini mencerminkan usaha berterusan KUSKOP dalam membangunkan ekonomi masyarakat setempat dan menggalakkan pertumbuhan perusahaan mikro di seluruh negara.
Commentaires