Program Jelajah UPKO Kukuhkan Ukhwah di Bandau
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

21 Mei 2025
KOTA MARUDU: Program jelajah anjuran Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu terus memperkukuh semangat perjuangan dan solidariti akar umbi apabila berlangsung di Cawangan UPKO Kampung Sungai Buaya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, semalam.
Program yang diketuai Ketua JawataKuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bandau, Suzie Salapan itu membawa misi utama bagi menjejaki serta menyantuni ahli-ahli UPKO di seluruh kawasan Bandau secara langsung.
Menurut Suzie, program ini merupakan satu langkah penting dalam mengeratkan kembali hubungan antara kepimpinan UPKO dengan ahli di peringkat akar umbi. Ia bukan sahaja menjadi medium bagi menyampaikan maklumat terkini parti, malah sebagai peluang untuk memahami aspirasi dan keperluan ahli di kawasan luar bandar.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan atas sambutan mesra serta sokongan berterusan yang diberikan oleh ahli-ahli di Kampung Sungai Buaya. Semoga ikatan ukhwah ini terus kukuh dan berpanjangan demi perjuangan kita bersama,” ujarnya.
Dalam sesi tersebut, Suzie turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan ahli cawangan dan menyampaikan sumbangan berupa beras kepada 36 orang ahli UPKO di Cawangan Kg Sungai Buaya. Kesemua penerima adalah dari kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ranau, Kota Marudu.
Sumbangan itu dilihat sebagai simbolik sokongan UPKO kepada komuniti setempat yang selama ini menjadi tulang belakang kekuatan parti di kawasan luar bandar. Ia juga menunjukkan keprihatinan UPKO dalam memastikan kebajikan ahli terus terbela, walaupun dalam skala sederhana.
Suzie turut menzahirkan hasrat agar program jelajah seperti ini dapat diteruskan ke cawangan-cawangan lain dalam DUN Bandau, sebagai manifestasi komitmen UPKO untuk terus relevan dan dekat di hati rakyat, khususnya di Sabah.
Program ini juga menjadi platform penting bagi memperkukuhkan kefahaman politik inklusif dan memperluas jaringan sokongan antara kaum yang menjadi teras kepada perjuangan UPKO sejak sekian lama.
Dengan usaha gigih dan kerjasama erat seperti yang ditunjukkan di Kampung Sungai Buaya, masa depan politik UPKO di Bandau diyakini akan terus kukuh dan mampan menjelang sebarang kemungkinan pilihan raya akan datang.
Yorumlar