Program Jiwa Madani @ Merdeka memupuk nilai murni kehidupan

26 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menyambut baik penganjuran Program Jiwa Madani @ Merdeka yang diadakan di setiap kawasan.
Katanya, program itu menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan tolong-menolong sesama masyarakat selain memupuk amalan nilai-nilai luhur dalam kehidupan seharian.
Jelasnya, ia juga manifestasi dan komitmen dalam membentuk masyarakat yang lebih sejahtera, berilmu dan bersatu padu.
Vivian berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jiwa Madani @ Merdeka Komuniti Madani Berhala Darat anjuran Jabatan Penerangan Sandakan di Gelanggang Futsal Kampung Sim-Sim, Sandakan, semalam.
Pada Sabtu, Vivian turut merasmikan program sama iaitu Program Jiwa Madani @ Merdeka DUN Elopura di Gelanggang Futsal PPR Taman Mesra, Sandakan.
Vivian berkata Program Jiwa Madani @ Merdeka" mengukuhkan lagi usaha membangunkan masyarakat yang lebih berdaya saing dan berintegriti.
Jelasnya, betapa pentingnya merdeka bukan hanya dari segi politik dan ekonomi, tetapi juga merdeka dari segi minda dan jiwa selain terus mengamalkan kehidupan harmoni, saling menghormati, dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip kemanusiaan yang luhur.
Justeru, usaha pihak penganjur dan semua yang terlibat dalam Program Jiwa Madani @ Merdeka itu amat wajar bagi menghargai keharmonian yang dikecapi generasi masa kini khususnya generasi muda serta generasi pewaris akan datang.
Comments