Program Keibubapaan Digital Siri II: Keluarga kekal kompas moral dalam era digital – Ewon
- nabalunews
- Aug 4
- 2 min read

Oleh Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 4 Ogos: Institusi kekeluargaan perlu terus menjadi kompas moral utama dalam membimbing kehidupan anak-anak meskipun dunia kini dilingkari kecanggihan teknologi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, teknologi mampu membuka pintu peluang, namun didikan serta sentuhan kasih sayang daripada keluarga tetap menjadi penentu kepada pembentukan nilai, adab, jati diri dan hala tuju sebenar generasi muda.

Amanat beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III, Carlye Lajimin, pada majlis penutupan Program Keibubapaan Digital Siri II di Dewan Terbuka Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (PKADUN) Kadamaian, Skyblue Kampung Piasau, Sabtu lalu.
“Keibubapaan digital bukan sekadar mengajar anak menggunakan gajet dengan bijak, tetapi mendidik mereka agar menggunakan ilmu dengan hikmah dan kebebasan secara bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Ewon, berdasarkan Laporan ICT Use and Access by Individuals and Households 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 96.8 peratus isi rumah di negara ini mempunyai akses internet, manakala 98.0 peratus individu menggunakan internet dan 99.5 peratus memiliki telefon mudah alih.
Katanya, perkembangan pesat teknologi turut membawa pelbagai cabaran termasuk penyebaran maklumat palsu, buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual kanak-kanak di internet, ketagihan permainan video serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa supaya tidak lagi bergantung kepada pendekatan tradisional semata-mata, sebaliknya melengkapkan diri dengan kemahiran digital bagi membimbing dan melindungi anak-anak di alam maya.
Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat ADUN N.11 Kadamaian, Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kota Belud serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Piasau.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti tiga slot utama iaitu Gaya Keibubapaan Digital yang disampaikan oleh Eddysamond Layun, Perisai Siber – Kemahiran Digital oleh Rosnani Salin dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah, serta Membina Daya Tahan Emosi Melalui Komunikasi dan Sokongan Keluarga oleh Profesor Madya Dr. Balan Rathakrisnan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dalam amanatnya, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang menjayakan program berkenaan dan menyeru peserta menjadi ejen perubahan dengan berkongsi ilmu yang diperoleh bersama komuniti masing-masing.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diperluaskan ke seluruh Sabah bagi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak, berdaya saing serta bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Majlis penutupan itu menyusuli kejayaan penganjuran Program Keibubapaan Digital Siri I yang berlangsung pada 18 Julai lalu di Kampung Bukit Bendera, Kota Belud, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan LPPKN Sabah dalam memperkasakan institusi kekeluargaan menerusi pendidikan digital.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Piasau, Kimpu Miod; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Piasau, Sanam Markulin Malun; serta peserta program daripada komuniti Kampung Piasau.















Comments