top of page

Program Native Sabahan Beadswork Perkasa Warisan Kraf Tradisional Sabah

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

ree

5 Januari 2026


KOTA KINABALU: Inisiatif menerusi Program Native Sabahan Beadswork yang diadakan di Bangunan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini mampu memperkenalkan serta memartabatkan seni kraf manik tradisional masyarakat pribumi Sabah.

Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar (UPPLB) FPPS, Profesor Madya Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata, program anjuran UPPLB itu turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai nilai budaya serta identiti warisan tempatan yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri masyarakat Sabah.

“Program ini juga bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya melalui aktiviti pembelajaran secara praktikal dan berasaskan pengalaman.

ree

“Menerusi penyertaan seramai 16 peserta yang turut melibatkan pelajar Fakulti Sains, National University of Singapore (NUS), ini sekali gus berperanan sebagai platform pertukaran budaya dan pengetahuan antara institusi antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan dari FPPS kepada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyokong dan menjayakan program tersebut.

“Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyokong usaha pemeliharaan dan pelestarian warisan budaya Sabah,” ujar beliau.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh a/l Bikar Singh yang turut menyempurnakan penganugerahan sijil kepada peserta yang terlibat.

Hadir sama pada majlis tersebut Pensyarah dari NUS, Dr. Shao Ting Hoong; setiausaha penganjur program, Mohamad Akmal Ariq Dzainuddin; dan dua tenaga pengajar pakar seni manik tradisional Sabah, iaitu Agnes Angkung dan Doris Sabala.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page