Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma Bantu Rakyat Sabah Di Kiau
- nabalunews
- Mar 21
- 2 min read

21 Mac 2025
KOTA BELUD: Seramai 65 penduduk menghadiri Program Skim Pemeriksaan Kesihatan Percuma Rakyat Sabah yang berlangsung di Dewan Terbuka Tamu Desa Kiau, Kota Belud.
Inisiatif ini bertujuan membantu golongan B40 mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma, khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas dan merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiau Taburi, Stefban Sindeh, menjelaskan bahawa program ini terbuka kepada penduduk Kampung Kiau Taburi, Kiau Nuluh, dan Kiau Bersatu. Ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Program ini dikendalikan oleh Syarikat Borneo Sinarmas Sdn. Bhd., yang dilantik untuk melaksanakan Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40). Fokus utama program adalah mengesan dan menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi, dan penyakit jantung dalam kalangan peserta.
Antara perkhidmatan pemeriksaan yang disediakan termasuk untuk kategori Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40), Pemeriksaan fizikal, Ujian sel darah, Ujian kawalan gula dalam darah, Ujian paras kolesterol, Ujian air kencing, Ujian fungsi buah pinggang, Rekod sejarah perubatan dan Konsultasi doktor.
Program Saringan Kesihatan PERKESO 3.0 pula terbuka kepada penyumbang aktif PERKESO berusia 40 hingga 59 tahun yang merangkumi Pemeriksaan fizikal, Ujian darah (Full Blood Count, HBA1c, Renal Profile, Lipid Profile), Ujian fungsi hati, Penanda tumor (CEA dan AFP), Ujian air kencing, Ujian Pap Smear dan mamogram bagi wanita.
Stefban mewakili penduduk Kampung Kiau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Syarikat Borneo Sinarmas atas penganjuran program yang amat bermanfaat ini.
Beliau turut menghargai sokongan daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kiau Taburi yang menyediakan pengangkutan kepada warga emas untuk hadir ke sesi pemeriksaan kesihatan.
Program ini diharapkan dapat diteruskan di masa hadapan bagi memastikan lebih ramai penduduk luar bandar, khususnya dalam golongan B40, mendapat manfaat daripada inisiatif kesihatan percuma ini.
Comments