- nabalunews
Program Rakan Muda tampilkan pelbagai bakat generasi muda
8 Ogos 2024
KOTA KINABALU : Program Rakan Muda memberikan platform kepada generasi muda untuk mengekspresikan bakat mereka dalam pelbagai bidang.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata program itu membolehkan bakat-bakat muda menggilap dan menonjolkan potensi mereka dalam pelbagai cabang seni seperti nyanyian, tarian dan banyak lagi.
"Pada hari ini (semalam), Rakan Muda mengadakan satu program untuk mengekspresikan bakat-bakat yang ada pada generasi muda.
"Program ini tidak hanya terhad kepada bakat dalam lagu-lagu tetapi juga banyak lagi bakat lain yang perlu diterokai dan ternyata memang banyak bakat-bakat yang ada pada belia-belia di Sabah," katanya, menurut laporan Jabatan Penerangan Sabah.
Dalam pada itu, Ellron turut menyeru golongan muda agar tidak malu untuk menonjolkan bakat mereka.
"Kita melihat persembahan tadi, ia tidak menggambarkan keseluruhan, ada ramai lagi rakan muda yang masih segan dan malu untuk menunjukkan bakat mereka.
"Oleh itu, saya menyeru kepada semua muda mudi supaya jangan malu-malu untuk menampilkan bakat mereka kerana bakat mereka mungkin berguna untuk diri sendiri dan juga kepada Sabah," ujarnya selepas merasmikan Program Pesta Rakan Muda Mudi di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini, pada Rabu.
Beliau juga menekankan perbezaan ketara antara program Rakan Muda dahulu dan kini, di mana peluang untuk menonjolkan bakat pada masa kini lebih banyak.
"Sekarang, banyak program yang diadakan memberi peluang kepada generasi muda untuk mencungkil bakat-bakat mereka berbanding dahulu. Oleh itu, saya harap lebih banyak program seperti ini diadakan pada masa akan datang kerana muda mudi zaman sekarang juga lebih terbuka dan ketara dalam menunjukkan bakat mereka," tambah beliau.
Program berkenaan disertai oleh seramai 562 golongan belia yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kelab dan persatuan belia setempat.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Apui Jan, wakil Pesuruhjaya Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin, wakil Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri, Sabih Desemin, dan Penolong Pengarah JKKN, Ishak Abdul Rashid.
Comentarios