top of page

Program Rakan Sulh Komuniti Perkasa Penyelesaian Kes Syariah

nabalunews
Jun 13
2 min read

13 Jun 2026


KOTA KINABALU : Usaha untuk memperkenalkan Program Rakan Sulh Komuniti dijangka akan dapat memperkasakan penyelesaian kes-kes syariah.


Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah akan melatih dalam kalangan komuniti membantu pemudah cara rundingan.


"Menerusi program ini beberapa individu akan dilatih sebagai Rakan Sulh Komuniti di peringkat akar umbi seperti ketua kampung, imam dan pemimpin komuniti agar mereka dapat membantu menjadi pemudah cara rundingan bagi menyelesaikan pertikaian dengan segera.


"Secara tidak langsung ini akan dapat mengurangkan tekanan emosi dan membantu memelihara keharmonian institusi keluarga," katanya ketika berucap dalam Program Melangkah Bersama MADANI: Wanita Beriman, Wanita Bertahan Peringkat Negeri Sabah di sini, pada Sabtu.


Program tersebut berjaya menghimpunkan ribuan wanita dari seluruh Sabah dalam satu ruang pengisian ilmu, pembangunan sahsiah dan pengukuhan institusi keluarga berteraskan nilai-nilai MADANI.


Menurut beliau, platform berkenaan akan memperkukuh penghayatan agama, memperkasa institusi keluarga serta memperluas usaha 'MADANI Membantu' dalam menyantuni dan memperkasakan golongan wanita dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan nilai-nilai Islam.


Dalam pada itu, Marhamah menzahirkan rasa syukur kerana beberapa projek pembangunan Mahkamah Syariah di beberapa daerah kini sedang berjalan dan berada dalam pemantauan.


"Saya berharap agar pendekatan Mahkamah Bergerak serta penambahan perjawatan dapat turut dipertimbangkan bagi memperluas akses kepada perkhidmatan kehakiman syariah, tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kebajikan pegawai, " katanya lagi.


Dalam perkembangan lain, beliau turut menzahirkan kesyukuran apabila pengurusan haji negara terus mendapat pengiktirafan berprestij daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Keberkesanan sistem itu terbukti apabila Malaysia sekali lagi menerima Anugerah Labbaytum atas kecemerlangan dan pengurusan haji yang terbaik di seluruh dunia.


Majlis berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page