Program Santai Bersama Pemimpin Kukuhkan Jalinan Komuniti di Kampung Lahanas
- nabalunews
- Jul 21, 2025
- 2 min read

21 Julai 2025
KOTA BELUD: Sebuah program berbentuk santai telah berjaya dianjurkan oleh Kelab Hoku-Hoku di Kampung Lahanas Sokid yang turut melibatkan kehadiran beberapa pemimpin setempat.
Program yang berlangsung pada 19 Julai lalu itu telah disertai oleh Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lejimin serta Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Jolyhame Saran.
Menurut Ketua Kelab Hoku-Hoku Lahanas Sokid, Pinol Timun, kelab tersebut pada asalnya ditubuhkan sebagai satu inisiatif kekeluargaan namun telah berkembang menjadi entiti komuniti yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan. Antara inisiatif utama mereka termasuk gotong-royong serta pengurusan giliran menghantar dan mengambil pelajar ke sekolah.

Program yang bertemakan santai bersama pemimpin ini turut menampilkan sesi soal jawab yang membincangkan pelbagai isu semasa secara terbuka antara masyarakat dan barisan kepimpinan. Ia bertujuan untuk memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan serta menambah baik komunikasi dua hala antara penduduk dan wakil rakyat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyerahan borang keahlian UPKO oleh Lominggu Yabin yang mewakili komuniti Lahanas Sokid kepada Carlye Lejimin selaku Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud. Penyerahan tersebut turut membawa mesej penghargaan terhadap usaha berterusan Datuk Ewon Benedick dalam membawa pembangunan ke kawasan Kadamaian.
Lominggu menyatakan bahawa keputusan menyokong UPKO adalah berlandaskan hasil usaha dan inisiatif ADUN Kadamaian itu yang juga merupakan Ahli Parlimen Penampang dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Dalam ucapannya, Carlye turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang hadir dan memberikan sokongan terhadap kepimpinan dan hala tuju pembangunan yang sedang dijalankan oleh UPKO di kawasan berkenaan.
Program diteruskan ke Kampung Lahanas Siba, di mana satu lagi acara telah diadakan melibatkan penyerahan sumbangan jersi bola sepak kepada wakil belia kampung, Dulaip Sadah. Penyerahan dilakukan oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti belia dan pembangunan sukan di kawasan luar bandar.
Turut hadir dalam majlis sehari itu ialah Pegawai Pemimpin Masyarakat (CDO) Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod, Setiausaha Pemuda UPKO Kota Belud, Joel Deukin serta beberapa ahli jawatankuasa Pemuda UPKO dan rakan-rakan seperjuangan yang lain.
Program ini secara keseluruhannya telah berjaya mencapai objektif untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat, di samping meningkatkan semangat kerjasama dan keterlibatan komuniti dalam pelbagai aspek pembangunan sosial.


















Comments