top of page

Projek biayaan Kerajaan Persekutuan di Sabah mesti dilaksana ikut jadual: Ewon

  • Wartawan Nabalu News
  • 2 days ago
  • 2 min read

3 Jun 2025


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, semua projek pembangunan di Sabah yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan perlu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.


Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, jawatankuasa itu berperanan memastikan semua projek dalam kategori prapelaksanaan dapat dimulakan.


“Saya dan Datuk Shehelmy bertanggungjawab memantau serta mencadangkan penyelesaian kepada sebarang isu yang menyebabkan kelewatan permulaan projek-projek ini.


“Apabila projek diserahkan kepada agensi dan kontraktor pelaksana, pemantauan akan diteruskan oleh platform lain seperti Mesyuarat Tindakan Pembangunan,” katanya selepas menyempurnakan Sambutan Pesta Kaamatan dan Perasmian Dewan Terbuka Kg.Podos, di sini, hari ini.


Ewon diminta mengulas perkembangan terkini Mesyuarat Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Program dan Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah


Katanya, pelaksanaan Mesyuarat Khas Intervensi yang dimulakan sejak awal tahun ini telah menunjukkan hasil positif.


“Banyak isu teknikal dan pentadbiran berjaya diselesaikan lebih cepat melalui libat urus terus antara agensi pelaksana, kementerian dan Kerajaan Negeri,” katanya.


Berdasarkan laporan dalam mesyuarat Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah pada Mei lalu, jumlah projek dalam status pra pelaksanaan telah berkurangan daripada 207 projek kepada 137 projek.


Ewon menyifatkan penurunan itu sebagai satu perkembangan positif hasil kerjasama pelbagai pihak.


“Kita telah mencadangkan beberapa langkah kepada jabatan teknikal dan kementerian pemilik projek agar isu-isu berbangkit dapat dibincangkan serta diselesaikan.


“Saya berharap peratusan projek yang bermula dapat terus meningkat dalam mesyuarat akan datang,” katanya.


Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua kementerian, kerajaan Sabah, dan jabatan teknikal yang berjaya mempercepatkan proses perolehan, pelantikan kontraktor dan tender bagi projek yang sebelum ini belum bermula.


“Saya berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam jawatankuasa intervensi ini,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page