top of page

Projek Grid Kuasa bagi memperkukuh sistem bekalan elektrik Sabah

  • nabalunews
  • 57 minutes ago
  • 2 min read

24 Januari 2026


KOTA KINABALU: Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak akan memperkukuh sistem bekalan elektrik Sabah agar menjadi lebih stabil, boleh dipercayai dan mampan.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia akan membawa kepada pengurangan kebergantungan terhadap penjanaan berasaskan bahan api fosil secara berperingkat.


Katanya, ia turut memperkukuh margin rizab elektrik Sabah, serta meningkatkan lagi keyakinan pelabur terhadap kebolehlaksanaan dan kebolehpercayaan bekalan kuasa di negeri ini.

“Sabah menghargai kesediaan Sarawak untuk menjadi rakan strategik tenaga, bukan sahaja melalui kerjasama dalam bekalan elektrik merentasi sempadan, malah sebagai rakan pembangunan Borneo yang berkongsi aspirasi masa depan yang sama.


“Usaha untuk meningkatkan pembangunan tenaga elektrik di Sabah memerlukan kerjasama semua pihak sebagai satu pasukan. Komitmen Kerajaan Negeri adalah jelas, iaitu memastikan bekalan elektrik negeri ini diperkukuh,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.


Majlis tersebut turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.


Hajiji berkata, bagi pihak Kerajaan Sabah, beliau percaya usaha bersama seumpama ini merupakan satu langkah penting ke arah merealisasikan visi bersama BIMP-EAGA.


“Dengan memajukan infrastruktur merentasi sempadan melalui Grid Kuasa ASEAN (APG), kita secara langsung meningkatkan prospek ekonomi semua negara yang terlibat.


“Infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan mampan seterusnya akan mengukuhkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus memacu pertumbuhan dalam sektor perindustrian, pembuatan dan hiliran,” katanya.


Beliau menambah bahawa sebagai pintu masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA, Sabah memainkan peranan strategik dalam menyatukan sistem kuasa Borneo yang bukan sahaja membuka potensi perdagangan tenaga merentasi sempadan, malah mewujudkan rangka kerja bagi pasaran tenaga serantau yang bersepadu, cekap dan mampan.


Malah, katanya, Interkoneksi Grid Sabah–Sarawak merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan ini, membuka laluan kepada hubungan masa depan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan akhirnya Filipina selatan.


“Kerajaan Negeri menyedari sepenuhnya bahawa permintaan elektrik di Sabah semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan populasi, pengembangan industri dan pembangunan luar bandar. Memenuhi permintaan ini merupakan keutamaan strategik yang kritikal.


“Bagi menangani perkara ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan lain telah melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.


“Pendekatan ini memastikan margin rizab penjanaan yang mencukupi serta meningkatkan daya tahan dan kebolehpercayaan keseluruhan sistem tenaga Sabah,” katanya.


Ketua Menteri berkata inisiatif utama yang sedang dilaksanakan dan dirancang termasuk kelulusan serta pembangunan projek penjanaan tenaga baharu merangkumi campuran sumber tenaga yang pelbagai.


“Ini termasuk penggunaan loji janakuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, di samping pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar, angin serta teknologi penyimpanan tenaga termaju seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri dan hidro simpanan pam,” katanya.


Beliau berkata langkah-langkah ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kapasiti, malah mengurangkan risiko gangguan bekalan dengan mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada satu sumber tenaga sahaja.


Hajiji berkata Kerajaan Negeri komited sepenuhnya untuk memastikan sektor tenaga Sabah berkembang seiring dengan kelestarian alam sekitar.


“Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, kita memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan intensiti karbon.


“Usaha ini selaras dengan komitmen perubahan iklim kita di peringkat negeri dan nasional, demi memastikan masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.


Hajiji berkata Kerajaan Sabah kekal teguh dalam misinya untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan, bagi memacu aspirasi pembangunan Sabah serta memastikan kesejahteraan keseluruhan rakyatnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page