top of page

Projek Pemasangan Sistem Bekalan Air ke tapak SMK Dalit beri manfaat kepada sekolah dan kampung berhampiran: Ellron

  • nabalunews
  • Jun 15
  • 2 min read

Gimik melakukan gimik pelancaran disempurnakan di hadapan Tony, Max dan Zainal.
Gimik melakukan gimik pelancaran disempurnakan di hadapan Tony, Max dan Zainal.

15 Jun 2025


SOOK: Projek Pemasangan Sistem Bekalan Air ke tapak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit akan membekalkan air bersih kepada sekolah itu apabila siap kelak.


Pemasangan Sistem Bekalan Air di bawah Jabatan Air Negeri Sabah itu turut membekalkan air bersih kepada kampung-kampung yang berhampiran di Mukim Dalit dan Mukim Ansip.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook Datuk Ellron Angin berkata, beliau telah berusaha berkaitan sistem bekalan air ini sejak beberapa tahun lalu, termasuk mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak Jabatan Air Keningau.

 Ellron bersama tetamu lain mendengar taklimat yang disampaikan oleh Royhaisam mengenai projek tersebut.
 Ellron bersama tetamu lain mendengar taklimat yang disampaikan oleh Royhaisam mengenai projek tersebut.

Katanya, pelaksanaan sistem bekalan air ini membuktikan bahawa suara rakyat tidak hanya didengari, malah diambil tindakan.


"Ini adalah langkah konkrit untuk menjamin akses kepada air bersih hak asas yang sewajarnya dinikmati oleh semua, tidak kira di mana mereka berada" katanya selepas Majlis Pemasangan Sistem Bekalan Air SMK Dalit di Dewan SLDB Dalit.


Majlis itu serentak dengan Program Mansau Ansau Pensiangan bersama RTM Sabah.


Pada masa sama Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan projek ini khususnya Pejabat Daerah Sook, Pejabat Pendidikan, Jabatan Tanah dan Ukur Keningau, pihak kontraktor pelaksana, serta agensi-agensi kerajaan yang telah memberi kerjasama yang amat baik.


"Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa meneliti dan menjiwai keperluan asas masyarakat, khususnya dalam aspek pendidikan dan kesejahteraan pelajar" ujar Ellron.


Menurut Ellron, masalah gangguan atau kekurangan bekalan air bukanlah isu remeh.


Katanya, ia memberi kesan besar kepada kelancaran operasi sekolah dari segi kebersihan tandas, keselamatan makanan di kantin, sehinggalah kesihatan dan keselesaan pelajar serta para guru.


"Justeru itulah Projek Pemasangan Sistem Bekalan Air ke tapak SMK Dalit

dirancang lebih awal agar bekalan air bersih boleh disalurkan sebaik sahaja bangunan sekolah siap kelak" jelasnya.


Ellron berkata, projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga SMK Dalit kelak malah ia turut memberi impak kepada kampung-kampung sekitarnya.


Turut hadir wakil Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Mohd Royhaisham Abd Fattah, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Zainal Manaf, wakil Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah Keningau Max Javier Bernard, Ketua Polis Balai Sook dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook Tony Talasoi.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page