top of page
nabalunews

Projek Taman Hutan Bersepadu sediakan keperluan makanan Gajah Pygmy Borneo di Telupid




4 Disember 2024


TELUPID: Community Elephant Ranger Team (CERT) melalui Projek Harmoni Manusia-Gajah telah melaksanakan Projek Taman Hutan Bersepadu atau Integrated Forest Garden Project bagi menyediakan kawasan sumber makanan Gajah Pygmy Borneo di hutan Telupid.


Program dikenali Penanaman Pokok Buah Makanan Gajah ini diadakan di Hutan Simpan Tawai dengan kerjasama Angels United, Majlis Belia Daerah Telupid, Pejabat Perhutanan Daerah Telupid, Jabatan Hidupan Liar, Sandakan dan Balai Polis Telupid Tongod.


Para peserta berkumpul seawal pukul 1 petang di Human Elephant Harmony Field HUB yang terletak di sempadan Hutan Simpan Tawai dan Kampung Gambaron, Telupid.


Menurut penyelaras Community Elephant Ranger Team Telupid, Alvein Dee Albenus,

Gajah Pygmy Borneo Telupid kini amat kekurangan makanan di habitat hidupan liar itu sehingga haiwan itu masuk ke kawasan penempatan komuniti dan ladang.


"Maka satu inisiatif untuk menambah sumber makanan gajah di hutan, kita dilaksanakan.


"Pemilihan jenis pokok buah ini adalah berdasarkan dari pemerhatian dan kajian CERT melalui najis gajah. Buah yang tumbuh dari najis gajah, kita dokumentasikan untuk mendapatkan maklumat jenis-jenis buah-buahan yang dimakan oleh gajah," kata Alvein.


Beliau menambah, program ini bukan hanya sekadar untuk menambah sumber makanan gajah, namun CERT melakukan inisiatif ini untuk membina jaringan dan jalinan dengan lebih ramai pihak berkepentingan dan komuniti di daerah Telupid khususnya dalam usaha untuk memberi kesedaran akan pentingnya keharmonian antara manusia dan gajah.


Alvein berkata ini memberi peluang kepada komuniti untuk terlibat secara langsung dalam usaha murni ini.


"Pada masa yang sama CERT juga ingin menjangkau lebih banyak kerjasama dari semua pihak di seluruh Malaysia dan luar negara untuk berganding bahu dalam usaha untuk memastikan Gajah Pygmy Borneo ini tidak diancam kepupusan tanpa mengabaikan komuniti setempat.


Seramai lebih dari 100 orang menyertai program ini termasuk kakitangan kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Bestaria Eco Tourism Komura, Junior Chamber International Moyog (JCI Moyog), Borneo Rhino Alliance (BORA) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kopuron, SK Mengkawago, SK Pekan Telupid, Kelab Pencinta Alam dan warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid dan SMK Penangah.


Turut serta, komuniti dari beberapa kampung seperti Kg. Liningkung, Kg. Bauto, Kg.Gambaron, Kg. Telupid, Kg. Wonod, Kg. Entilibon, Kg. Penangah, Ranau dan Kota Marudu.


Program ini turut disertai oleh Unduk Ngadau Telupid 2024, Queency Isabelle Ladzrus.


Melalui program ini lebih 200 pokok buah telah berjaya ditanam seperti durian, cempedak, rambutan, tarap, mangga, bambangan, jambu, mata kucing dan beberapa rumput nappier.


Menurut penyelaras CERT, bibit buah ini adalah hasil semaian team CERT dan sumbangan daripada orang ramai yang hadir dalam proram ini.


Bagi memastikan kejayaan projek ini, CERT bersama Angels United dan Majlis Belia Daerah Telupid akan terus bekerjasama dan mengalu-alukan semua pihak untuk turut serta dalam pemantauan dan penjagaan pokok buah yang telah ditanam.


Pihak penganjur mengharapkan agar komuniti Telupid khususnya akan terus bekerjasama dalam usaha untuk menanam lebih banyak lagi pokok buah makanan gajah di Hutan Simpan Tawai untuk memastikan aspirasi mewujudkan kawasan perlindungan gajah yang mempunyai bekalan makanan yang mencukupi di Hutan Simpan Tawai akan tercapai.


Program ini bukan sahaja dapat memberi sumber makanan tambahan kepada gajah tetapi juga kepada hidupan liar lain di kawasan ini.


Pada masa yang sama, program ini juga dapat mendidik dan melahirkan generasi muda yang lebih prihatin dan peka kepada hidupan liar dan alam sekitar bagi mempertahankan, memulihara dam memelihara biodiversiti di Hutan Simpan Tawai dan sekitarnya.

Comments


bottom of page