Projek Tamu Desa dan Ehsan@KUSKOP, respon kepada isu rakyat, cetusan UPKO – Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Projek Tamu Desa dan Ehsan@KUSKOP, respon kepada isu rakyat, cetusan UPKO – Ewon

22 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KIULU: Projek Tamu Desa dan Ehsan@KUSKOP iaitu projek pembasmian kemiskinan di Sabah adalah respond kepada isu rakyat yang dicetuskan oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).


Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, kedua-dua inisiatif untuk rakyat Sabah itu akan dilancarkan pada tahun ini.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, selama ini kementerian itu tidak pernah terlibat dalam pembasmian kemiskinan dan pembinan infrastruktur namun atas dasar tanggungjawab maka dua inisiatif itu diperkenalkan.


Ätas dasar tanggungjawab kerana kita berhadapan dengan daerah sendiri yang tersenarai dalam insiden kemiskinan, maka Kementerian memutuskan untuk memperkenalkan Projek Ehsan@KUSKOP.


“Projek menoktahkan kemiskinan ini akan melibatkan kesemua 10 agensi dan dua organisasi di bawah portfolio saya iaitu Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Keusahawanan Kebangsaan Malaysia (UKKM).


“Pelaksanaan Ehsan@KUSKOP ini akan melibatkan dua Kumpulan iaitu pelajar dan ketua isi rumah yang tersenarai dalam daftar e-Kasih,” katanya ketika berucap pada Konvensyen UPKO Zon B (Tuaran dan Sepanggar), di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini, kelmarin.


Ewon berkata, isu kemiskinan ini juga telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Pembangunan Sabah beberapa hari lalu.


“Kerajaan negeri telah mengemukakan insiden kemiskinan di negeri ini masih melebihi 12,000 dalam daftar e-Kasih. Intervensi untuk menyelesaikan kemiskinan ialah melalui gerakan keusahawanan dan Pendidikan,”katanya.


Beliau berkata, sekrateriat bagi Kerajaan negeri ialah SMJ akan berbincang dengan sekrateriat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk meneliti dan melaksanakan projek Ehsan@KUSKOP tahun ini.


Katanya lagi, projek ini akan dimulakan di tiga daerah yang dikategorikan daerah miskin iaitu Parlimen Kudat, Parlimen Kota Marudu dan Parlimen Kota Belud.


“Ini lah respond UPKO, respond kepimpinan UPKO terhadap insiden kemiskinan di Sabah. Kita harus berupaya mengangkat permasalahan dan berupaya menjadi penyelesaian kepada masalah ini,”katanya.


Ewon berkata, inisiatif kedua ialah Projek Tamu Desa.

“Tidak pernah dalam sejarah kementerian terlibat dalam projek infrastruktur kerana selama ini hanya tertumpu kepada memberi pembiayaan, pinjaman, geran dan kursus-kurusus latihan keusahawanan.


“Tapi saya bertegas meminta kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), harus ada bajet untuk menaiktaraf atau mewujudkan bangunan gerai-gerai baru, tamu-tamu tradisi luar bandar terutamanya yang berada di luar kawasan perkadaran,” katanya.

bottom of page