Proses Pembersihan Tapak Kebakaran Kampung Taginambur Bt. 10 Selesai
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
9 Mac 2026
KOTA BELUD: Proses pembersihan tapak kebakaran yang memusnahkan 11 lot kedai di Kampung Taginambur Batu 10, dekat sini, telah siap sepenuhnya petang semalam.
Ketua Cawangan UPKO Bahab merangkap Pengerusi JKKK Kampung Bahab, Yezree Sumping, mengesahkan bahawa kerja-kerja pembersihan kawasan terlibat telah dilaksanakan sepenuhnya.
Menurutnya, proses itu dapat diselesaikan menerusi sumbangan kos pembersihan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

"Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian sebelum ini," jelas Yezree.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan kepada mangsa kebakaran.
Dalam kejadian pada 15 Februari lalu, sebanyak 11 lot rumah kedai di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
Terdahulu, Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan sempat turun padang melawat lokasi kejadian serta bertemu dengan keluarga-keluarga yang terjejas dengan insiden itu.











