top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU-15: Calon PH daripada UPKO akan tanding lima kerusi Parlimen


(Dari kiri ke kanan) Felix, Rowindy, Madius, Ewon dan Dr.Peter.


31 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) satu daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengumumkan lima calon daripada parti itu bertanding di lima kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Presidennya Datuk Wilfred Madius Tangau mengumumkan perkara itu pada sidang media, di ibu pejabat UPKO, di sini, tadi pagi.


“Calon UPKO yang akan menggunakan logo Pakatan Harapan akan bertanding di kerusi Parlimen Penampang, Kimanis, Beluran, Libaran dan saya sendiri akan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran,” kata Madius.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, yang juga Naib Presiden UPKO dan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Datuk Ewon Benedick, 39, akan bertanding di Kerusi Parlimen Penampang.


Ketua Pemuda UPKO Pusat yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran Felix Joseph Saang,48, pula akan bertanding di kerusi Parlimen Beluran.


Madius (tengah) bersama calon-calon UPKO (PH), pada sidang media itu.

Timbalan Setiausaha Agung UPKO yang juga Ketua Bahagian UPKO Libaran Dr.Peter Jr.Naintin, 44, akan bertanding di Kerusi Parlimen Libaran.


Satu-satunya calon wanita mewakili UPKO, Rowindy Lawrence Odong, 40 akan bertanding di kerusi Parlimen Kimanis.


Setiausaha Wanita UPKO Pusat dan Timbalan Ketua Penerangan UPKO itu adalah antara muka baharu yang bertanding pada PRU15 selain Dr.Peter dan Felix.


“Pilihan raya kali ini sudah pasti penentu kepada hala tuju negara kita selepas ini. Misi kita adalah untuk sama-sama bersama seluruh parti komponen Pakatan Harapan untuk menyelamatkan negara kita daripada pelbagai krisis ke arah sebuah negara yang lebih makmur dan sejahtera untuk dinikmati rakyat berbilang kaum dan agama.


“Ini termasuklah krisis sosio ekonomi rakyat, tadbir urus negara dan untuk menyelamatkan negara daripada penyelewengan, salah guna kuasa dan amalan rasuah,” katanya.



Comments


bottom of page