PRU15: Ewon ketuai jentera pilihanraya UPKO, sedia hadapi BN-GRS-Warisan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PRU15: Ewon ketuai jentera pilihanraya UPKO, sedia hadapi BN-GRS-Warisan

Datuk Ewon Benedick

13 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick akan mengetuai jentera pilihanraya parti tersebut bagi menghadapi pilihanraya umum ke-15 (PRU15).


Mesyuarat khas Majlis Tertinggi parti itu semalam memutuskan agar Ewon dilantik menjadi Pengarah Pilihanraya UPKO yang sebelum ini dipegang oleh Naib Presiden Datuk Wong Thien Fook.


Sementara itu, ketika dihubungi wartawan Nabalu News, Ewon menjelaskan UPKO sedang giat melaksanakan persiapan-persiapan menghadapi pilihanraya terutama di kawasan yang menjadi sasaran untuk ditandingi oleh parti itu.


"Walaupun perundingan berkenaan pengagihan kerusi masih berjalan di peringkat pimpinan tertinggi parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH), namun mendapat gambaran berkenaan kerusi-kerusi yang bakal ditandingi.


"Apa yang pasti, kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh UPKO ada yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional (BN), ada yang akan ditandingi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti Warisan. UPKO bersama-sama dengan parti-parti komponen PH iaitu PKR, DAP, AMANAH serta rakan sekutu MUDA bersedia berhadapan dengan parti-parti ini," katanya.


Menurut Ewon, beliau akan mengadakan kunjungan ke Bahagian-Bahagian yang bakal ditandingi oleh UPKO bermula minggu hadapan.


Sementara itu, Ewon turut menyatakan bahawa mesyuarat khas Majlis Tertinggi parti tersebut juga memutuskan untuk menunda Persidangan Perwakilan Tritahunan yang sepatutnya diadakan pada 15-16 Oktober ini ke satu tarikh baru selepas pilihanraya umum.


"Keputusan penundaan kongres parti ini dibuat bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pilihanraya.


"Bagaimanapun, penundaan ini tidak akan memberi kesan kepada transisi kepimpinan dalam parti dan juga keputusan pencalonan bagi jawatan-jawatan dalam Majlis Tertinggi," katanya.


Ewon turut mengesahkan bahawa jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden tidak akan dipertandingkan selepas calon-calon yang layak menang tanpa bertanding selepas calon lain memberi laluan.

bottom of page