PSKS anjur kesedaran kanser, beri pendedahan penduduk luar bandar
Wartawan Nabalu News

8 Okt 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) menganjurkan program kesedaran kanser di Dewan Terbuka Sosondoto N View, Kg. Piasau, di sini, pada Sabtu.
Menurut Presiden PSKS, Lawrence Libur Imui, tujuan program itu adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penyakit kanser dan cara-cara pencegahan dan pengesanan awal.
"Kami ingin menyampaikan mesej bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati dan pengesanan awal kanser menyelamatkan nyawa," katanya.
Pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan, saringan kanser servik, ceramah kanser, pendaftaran subsidi mamogram, perkongsian 'cancer survivor' dan soal jawab telah diadakan.

Penceramah jemputan program itu ialah Dr. Rizin Kusop, doktor poliklinik Tuaran dan mantan doktor Hospital Ibu dan Anak Kota Belud.
Program itu dirasmikan oleh Juin Kolod, CDO UPPM Kadamaian mewakili ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Turut hadir, Jolyhame Saran, Ketua Pemuda UPKO Kota Belud merangkap Pengerusi JKKK Kg. Piasau Kota Belud.
Juin berkata, program itu satu inisiatif yang baik dan bermanfaat untuk masyarakat.
"Kami amat menghargai usaha PSKS mengadakan program ini. Kami juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. Kami harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai kanser," katanya.
Program itu dianjurkan bersama Hospital Kota Belud dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
תגובות