top of page

Raja Teh Maimunah dilantik CEO baharu Bank Islam

  • nabalunews
  • 14 hours ago
  • 2 min read

6 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) melantik Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan, berkuat kuasa 1 April depan.


Beliau menggantikan Datuk Mohd. Muazzam Mohamed, yang bersara awal pada Disember lalu setelah lebih sedekad di Bank Islam.


Bank Islam dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pelantikan itu dibuat selepas proses pencarian yang rapi dan menyeluruh, dengan Lembaga Pengarah telah menilai dengan teliti sekumpulan besar calon yang berkelayakan tinggi.


“Setelah pertimbangan mendalam, Lembaga Pengarah telah memutuskan Raja Teh Maimunah merupakan calon terbaik untuk memimpin Kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya.


“Selain rekod pencapaian dalam kepimpinan strategik dan kecemerlangan operasi yang luas, beliau secara konsisten telah menunjukkan keserasian dengan nilai teras, termasuk pematuhan prinsip Syariah yang menjadi asas kepada operasi dan tadbir urus Bank Islam,” menurut kenyataan itu.


Sementara itu, Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Ismail Bakar berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Raja Teh Maimunah sebagai CEO Kumpulan yang baharu.


Menurutnya, kepimpinan Raja Teh Maimunah dalam industri kewangan dan inovasi digital sejajar dengan aspirasi strategik Bank Islam sebagai peneraju perbankan Islam Malaysia yang sentiasa berubah seiring keperluan negara.


“Lembaga Pengarah yakin di bawah kepimpinan beliau, kumpulan akan terus memperkukuhkan kedudukan pasaran, memacu inovasi dan menyampaikan nilai mampan kepada semua pemegang taruh, pada masa sama menjunjung standard tertinggi Syariah dan integriti,” katanya.


Raja Teh Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (LLB) Undang-Undang (Kepujian) dan Doktor Kehormat Undang-Undang dari University of East London, serta merupakan Felo Pegawai Bank Bertauliah dan Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam (CPIF).


Sebelum menyertai Bank Islam, beliau adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AEON Bank (M) Bhd. dan menerajui pelancaran bersejarah bank digital Islam pertama di Malaysia.


Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau merupakan perancang utama di sebalik infrastruktur natif awan teras bank tersebut, sekali gus meletakkan penanda aras baharu bagi inovasi digital patuh Syariah.


Kerjaya beliau selama 30 tahun meliputi jawatan kanan di beberapa institusi kewangan terkemuka termasuk sebagai Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank dan CEO Hong Leong Islamic Bank.


Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pasaran Islam Global di Bursa Malaysia, di mana beliau merintis pelancaran Bursa Suq Al-Sila’, sebuah platform dagangan komoditi patuh Syariah pertama dunia.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page