top of page
nabalunews

Rakyat harus pertahankan kemerdekaan negara, kukuhkan semangat patriotism sempena Hari Kebangsaan ke-67 – Menteri Kabinet Kerajaan MADANI

31 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67, Menteri-menteri Kabinet Kerajaan MADANI memanfaatkan platform media sosial untuk menyampaikan ucapan dan seruan kepada seluruh rakyat Malaysia agar terus memperkukuh semangat patriotisme serta menjaga kemerdekaan negara.


Mereka menegaskan bahawa perpaduan dan keazaman bersama adalah kunci untuk mengekalkan kedaulatan dan keharmonian tanah air.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menekankan bahawa mencapai kemerdekaan bukanlah suatu usaha yang mudah dan menuntut rakyat untuk mempertahankannya dengan sepenuh hati.


"Tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' mengingatkan kita untuk bersatu hati dan memperkukuhkan perpaduan sebagai negara berdaulat," katanya.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, mengajak rakyat Malaysia mengenang kembali detik bersejarah yang membentuk identiti negara.


"Kita memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi kemerdekaan ini. Marilah kita gandakan usaha dan tekad untuk menjadi bangsa yang kalis cabaran demi tanah air tercinta," ujarnya.


Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Aro Dagang, pula berharap semangat kemerdekaan terus menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama, atau budaya.


"Hari ini, kita mengenang jasa pejuang yang telah berkorban demi negara yang kita cintai," katanya dalam pesanan sempena sambutan tersebut.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, turut menekankan pentingnya menyalakan semangat kemerdekaan dalam setiap rakyat Malaysia.


"Kita harus memelihara warisan negara untuk generasi akan datang, Dirgahayu Malaysiaku!" katanya dengan penuh semangat.


Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berharap Malaysia terus berkembang pesat sebagai negara makmur dalam era digital yang semakin berkembang.


"Marilah kita meraikan kebebasan dan mengenang suka duka yang kita lalui bersama sebagai rakyat Malaysia," katanya dalam ucapan penutupnya.

Comments


bottom of page