top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rakyat Sabah harus tolak politik parti ekstrem, pemimpin rasis: Pemuda UPKO



30 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU:  Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang menyifatkan, kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berbaur perkauman dan boleh menimbulkan ketegangan serta perbalahan dalam kalangan masyarakat di negara ini.


Beliau berkata, seorang pemimpin veteran tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana ia menggambarkan ketidakmatangan pemimpin berkenaan.


“Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga mewakili pemimpin kerajaan tidak seharusnya membuat tuduhan atau dakwaan seumpama itu yang langsung tidak berasas.


“Kenyataan itu juga satu fitnah dan memalukan masyarakat bukan Islam dan bukan bumiputera kerana rasuah tidak mengenal bangsa dan agama.


“Dalam Laporan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 mendedahkan bahawa punca rasuah berlaku ekoran kurang sokongan, kurang kesedaran, kerenah birokrasi, kurang pengesanan awal, kurang usaha mencegah rasuah serta kelemahan penguatkuasaan dan bukannya dilakukan oleh individu bukan islam atau bukan bumiputera,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS baru-baru ini yang mendakwa bahawa golongan bukan Islam dan bukan bumiputera adalah kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.


Hadi dipetik sebagai berkata pada konvensyen Sabtu lalu, bahawa ia telah sampai ke tahap bahawa “orang-orang ini” (bukan Islam dan bukan Bumiputera) akhirnya mengawal ekonomi negara dan menggunakan wang mereka untuk mencemarkan politik, pentadbiran dan kehakiman.


Felix memuji kenyataan Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang menggesa agar Presiden Pas itu dilarang masuk Sarawak.


Felix berkata "budaya politik ekstrim seperti ini perlu ditolak demikian juga parti-parti politik yang masih bersekongkol dengan mereka. Tidak ada ruang untuk politik yang keterlaluan seperti ini di Sabah."


"Apakah pendirian pemimpin-pemimpin parti tempatan dalam Kerajaan Sabah hari ini khususnya GRS dalam perkara ini?,” soal Felix.


Sehubungan itu, Felix berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap Hadi kerana kenyataan itu melampau dan mengelirukan rakyat.

Comments


bottom of page