top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rakyat Sabah terpedaya janji manis Menteri Dalam Negeri hantar 'kumpit-kumpit'



18 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) difitnahkan sebagai tunduk kepada kepimpinan pendatang tanpa izin (PTI) dan lebih teruk lagi dituduh penternak PTI yang menyebabkan pengundi keliru dan hilang kepercayaan kepada parti itu.


Presidennya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, penjelasan telah diberikan bahawa tuduhan itu adalah fitnah dan pembohongan namun ramai yang termakan janji manis terutamanya janji manis Menteri Dalam Negeri.


Beliau berkata, menteri berkenaan berjanji untuk menghantar balik kumpit-kumpit atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara asal mereka dengan syarat rakyat mengundi untuk menjatuhkan kerajaan (Warisan Plus) pimpinan parti tempatan Sabah.


Katanya, malang sekali nasib Kerajaan pimpinan parti tempatan Sabah tersebut yang telah dijatuhkan dengan pembohongan, fitnah dan sogokan.


“Kalau Orang Sarawak memberi sokongan penuh kepada Kerajaan pimpinan parti tempatan, Orang Sabah pula senang difitnah dan disogokkan untuk menjatuhkan Kerajaan pimpinan parti tempatan.


“Namun setelah Kerajaan sekarang gagal menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah PATI, rakyat Sabah sudah mula hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang sekarang.


“Lebih buruk lagi apabila Menteri Dalam Negeri baru-baru ini mengumumkan bahwa PATI di Sabah akan diberi Kad Pendatang Asing. Rakyat Sabah merasa sangat kecewa dan tertipu oleh janji-janji manis yang kini terbukti palsu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Pelancaran Mesyuarat Agung Tritahunan Cawangan-Cawangan UPKO Bahagian Tuaran secara maya hari ini.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, pengalaman itu seharusnya memberikan peringatan kepada semua supaya sentiasa berhati-hati menerima janji penyelesaian terhadap isu yang sangat bererti kepada Sabah.


“Dalam hal kebanjiran PATI di Sabah, rakyat perlu meneliti hujah-hujah Jabar Khan semasa menjadi saksi dalam Pendengaran Awam oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti. Antara intipati itu ialah “setelah UMNO melebarkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991 sebuah Jawatankuasa Petugas Khas PATI telah ditubuhkan untuk memendaftar dan memberi Kad Pengenalan kepada mereka dan seterusnya didaftarkan dalam senarai pemilih bertujuan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan parti tempatan Sabah pada waktu itu.“


“Fakta Pengakuan Jabar Khan ini boleh didapati dalam Hansard Parlimen https//:www.parlimen.gov.my. bertarikah Isnin 26 Februari 2007,” jelasnya.


Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, rakyat, dan khususnya pengundi, memerlukan maklumat yang sahih dan tepat untuk membuat keputusan yang bijak.


“Keputusan yang berasaskan kepada pembohongan dan fitnah pastinya akan merugikan rakyat dan negara. Sebab itulah negara kita memerlukan pemimpin yang berwibawa dan berintegriti dan menolak pemimpin yang rasuah, berbohong dan memfitnah orang lain semata-mata kerana minta undi demi kuasa dan pangkat,” katanya.


Sehubungan itu, Madius mengajak rakyat Sabah termasuk di Parlimen Tuaran supaya bangkit dan menolak mereka yang hanya pandai menabur janji-janji manis termasuk isu hantar balik kumpit-kumpit yang ternyata janji palsu dan yang lebih teruk lagi menghadiahkan kad pengenalan warga asing yang memungkinkan warga asing atau PTI boleh tinggal lama di negeri ini.


bottom of page