Ramalan awal banjir di Sandakan, Kudat susulan hujan beterusan
- nabalunews
- 11 minutes ago
- 1 min read

10 Mac 2026
KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di daerah Sandakan dan Kudat dijangka berdepan risiko banjir bermula hari ini hingga esok susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam satu kenyataan memaklumkan kemungkinan banjir dijangka berlaku di beberapa lembangan sungai terutama di kawasan rendah yang mudah dinaiki air.
“Di daerah Sandakan, kawasan yang berpotensi terjejas melibatkan Lembangan Sungai Sendala (Sg Sendala, Sg Gum-Gum, Sg Muhibbah), Lembangan Sungai Seguntor (Sg Seguntor, Sg Manila) dan Lembangan Sungai Segaliud (Sg Garinono, Sg Segaliud).
“Selain itu, turut dijangka berdepan kemungkinan banjir ialah Lembangan Sungai Semawang (Sg Memanjang, Sg Manjang, Sg Semawang), Lembangan Sungai Manila, Sungai Kolapis, Sungai Muanod serta Lembanhan Sungai Labuk (Sg Sapi),” menurut kenyataan itu.
Bagi daerah Kudat pula, kawasan yang berisiko membabitkan Lembangan Sungai Tegarangan (Sg Tegarangan, Sg Sri Aman, Sg Bak Bak, Sg Kinagazo), Lembangan Sungai Loro (Sg Bangau) dan Lembangan Sungai Indrasan (Sg Rampai, Sg Pomotodon, Sg Tinangol).
Menurut PRABN, keadaan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh dijangkakan bergantung kepada intensiti hujan semasa.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” jelas kenyataan itu.
Orang ramai disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir melalui laman sesawang rasmi publicinfobanjir.water.gov.my atau aplikasi MyPublicInfoBanjir.











