top of page

Rayuan AGC Gugat Keyakinan Pelabur, Iklim Ekonomi Sabah – BAYAHAN

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 1 min read

ree

3 November 2025


KOTA KINABALU: Persatuan Sosial Bayu Harapan (BAYAHAN) menyatakan sokongan terhadap mana-mana pihak, termasuk Menteri Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang menentang sekiranya Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak 40 peratus hasil Sabah.


Keputusan mahkamah pada 17 Okt lalu menegaskan bahawa Sabah mempunyai hak Perlembagaan untuk menerima 40 peratus daripada jumlah hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri itu.


Pengerusi BAYAHAN, Ronaded Juni, berkata sebarang tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut berpotensi menggugat kestabilan ekonomi negeri dan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Sabah.


“Pelabur domestik dan asing sentiasa memerhati konsistensi dasar fiskal kerajaan. Rayuan terhadap keputusan kehakiman yang sudah jelas hanya akan meningkatkan persepsi risiko dasar (policy risk) terhadap Sabah.


“Keyakinan ekonomi terhasil daripada kepastian undang-undang. Jika keputusan mahkamah yang mengiktiraf hak Perlembagaan negeri pun diragui, pelabur akan menilai Sabah sebagai zon ketidakstabilan dasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, isu 40 peratus hasil bukan sekadar melibatkan hak Perlembagaan Sabah, tetapi merupakan sebahagian daripada keadilan ekonomi dan tadbir urus sumber negara.


Menurutnya, dengan tambahan hasil itu, Sabah berpotensi membiayai projek infrastruktur strategik seperti penaiktarafan jalan raya, bekalan air bersih dan pembangunan pelabuhan serantau tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kelulusan Kerajaan Pusat.


“Datuk Ewon yang juga adalah Presiden UPKO menunjukkan prinsip kepimpinan ekonomi berasaskan integriti. Sabah memerlukan lebih ramai pemimpin yang berani mempertahankan prinsip meskipun berdepan risiko terhadap kedudukan,” tambahnya.


BAYAHAN turut menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah agar segera mengadakan rundingan dalam tempoh 90 hari seperti yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page