top of page

Rekod pencapaian baik dorong rakyat pilih semula GRS untuk PRN17 – Hajiji

  • nabalunews
  • Jul 27, 2025
  • 2 min read

Hajiji disambuat ribuan penyokong dan perwakilan parti setibanya di SICC bagi menghadiri Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di SICC hari ini.
Hajiji disambuat ribuan penyokong dan perwakilan parti setibanya di SICC bagi menghadiri Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di SICC hari ini.

27 Julai 2025


KOTA KINABALU: Rekod pencapaian yang baik yang telah dipamerkan kerajaan sekarang akan mendorong rakyat untuk memilih semula Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah Sabah untuk lima tahun yang akan datang.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyuarakan keyakinan, rakyat bijak menilai parti mana yang terbaik untuk diangkat sebagai kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) ke-17 nanti.


“Insyallah, segala perancangan pembangunan dapat diteruskan dan direalisasikan demi kesinambungan pentadbiran dan kejayaan yang berterusan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya sempena Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.


Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, ketika membentuk kerajaan hampir lima tahun lalu, GRS memulakan langkah dan persiapan dengan tekad dan visi yang jelas. Bagai seorang arkitek yang membina mahligainya dengan tiang seri dan asas yang kukuh.


"Demikianlah kita membina rumah kita ini dengan asas yang sama, bermula dari aspirasi dan citarasa golongan akar umbi dengan semangat tempatan atau parti lokal yang kental! Kita bukan menjanjikan bulan dan bintang tetapi kita berjanji untuk melakukan yang terbaik demi kepentingan seluruh rakyat.


Pengerusi GRS itu mengakui PRN17 bakal menjadi medan paling kritikal bagi gabungan itu, selain peluang terbaik untuk memperoleh mandat rakyat ke arah membentuk sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil.


Katanya, pelan pembangunan yang dirancang bukan sekadar slogan, tetapi sudah menampakkan hasil nyata dengan pertumbuhan ekonomi negeri yang positif dan memerlukan mandat besar daripada rakyat untuk memastikan ia dapat diteruskan.


Beliau menegaskan bahawa PRN17 adalah peluang yang tidak boleh dianggap sebagai pilihan raya biasa-biasa kerana ia membabitkan soal tanggungjawab yang akan menentukan nasib masa depan negeri dan generasi akan datang.


"Kemenangan GRS akan memberi kita suara yang lebih besar dalam usaha dan ikhtiar kita membangunkan Sabah.


Kita akan mempunyai kedudukan yang lebih teguh untuk menuntut dan mempertahankan hak Sabah.


"Sebaliknya, jika kita gagal membentuk kerajaan, maka kita mensia-siakan peluang keemasan untuk meletakkan kuasa politik tempatan sebagai teraju utama politik Sabah.


"Tidak mustahil, segala dasar serta perancangan yang sedang berjalan dengan begitu baik pada ketika ini akan berubah dan dibatalkan sebagaimana yang berlaku sebelum ini dan yang menjadi mangsa adalah rakyat, yang rugi adalah negeri Sabah," katanya.


Hajiji berkata, kerajaan GRS sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk memenuhi mandat rakyat pada pilihan raya negeri yang lalu dengan menunaikan janji yang mampu dilakukan demi rakyat negeri ini.


Sementara itu, Hajiji meminta seluruh jentera Gagasan Rakyat bermula dari pimpinan tertinggi, sayap Wanita, Pemuda, Beliawanis, hingga ke akar umbinya turun ke gelanggang PRN17 bagi menawan hati rakyat, khususnya anak muda.


"Bekerjalah bersungguh-sungguh demi parti tercinta! Gunakan masa yang ada untuk terus mendekati rakyat. Dengarlah denyut nadi mereka, selami keperluan mereka dan buktikan bahawa Gagasan Rakyat bukan sekadar nama.


"Sudah tiba masa untuk kita turun ke gelanggang perjuangan dengan semangat yang membara, dengan keyakinan yang tidak tergoyah, demi memperjuangkan nasib rakyat dan masa depan negeri Sabah tercinta.


"InsyaAllah, 'god willing', kita akan menang dalam pilihan raya ini dan kembali mendapat mandat rakyat Sabah yang lebih besar, lebih segar, lebih bermakna dan lebih bergaya," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page