top of page

Remaja hilang jatuh bot di Kudat

  • nabalunews
  • Jul 29, 2024
  • 1 min read


29 Julai 2024


KUDAT: Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di perairan Tanjung Malawali, di sini, semalam.


Mangsa Aldrian Abdul Hatam, 19, disedari hilang oleh juragan bot di kedudukan 2.55 batu nautika utara Pulau Malawali.


Juragan bot kemudian melakukan pencarian di sekitar kawasan berkenaan namun gagal menemui mangsa.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan orang dikhuatiri hilang di laut daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 4.52 petang semalam.


Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat tiba di jeti untuk mendapatkan maklumat.


Pada masa yang sama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pulau Banggi telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisiran pantai.


“Mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada 7.30 malam tadi sebelum disambung semula mulai 8 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Operasi SAR hari kedua dilaksanakan di sekitar perairan Pulau Malawali dengan kaedah 2 bot dibahagikan kepada 2 sektor pencarian dalam radius 5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.


Menurutnya, maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.


Operasi SAR turut disertai APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page