Remaja Lemas Di Pantai Shahbandar
- nabalunews
- Sep 1
- 1 min read

1 September 2025
TUARAN: Aktiviti mandi manda seorang remaja bersama keluarga berakhir tragedi apabila mangsa ditemui lemas dalam kejadian di pantai berhampiran Kampung Shahbandar, di sini, semalam.
Mangsa berusia 15 tahun terbabit ditemui orang awam kira-kira 1 kilometer (km) daripada kawasan mangsa disedari hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.23 petang.

Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Mengikut laporan diterima, seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda bersama keluarga.
“Pasukan Bomba tiba di lokasi dan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat secara 'Surface Searching' di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut diarahkan untuk bergerak ke lokasi kejadian bagi membantu dalam operasi pencarian mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh orang awam pada jam 7.05 malam, kira-kira 1 km dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.34 malam oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.50 malam,”’katanya.


















Comments