RISDA Sandakan Perkasa Pekebun Kecil Getah Menerusi PKPK di Telupid
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
TELUPID, 22 Julai – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Daerah Sandakan terus memperkasa komuniti luar bandar melalui Program Kemakmuran Pekebun Kecil (PKPK) dan sesi Tunjuk Ajar In-Situ yang berlangsung di Kampung Baba, Telupid, pada 15 Jun lepas.
Program yang dirasmikan oleh Pegawai RISDA Daerah Sandakan, Ahmad Lukman Hj. Rusli, itu bertujuan memperkukuh ekonomi pekebun kecil getah agar tidak bergantung semata-mata kepada hasil getah, sebaliknya meneroka bidang keusahawanan dan pertanian integrasi bagi menjamin kelangsungan ekonomi keluarga.
Dalam ucapan perasmiannya, Ahmad menegaskan bahawa PKPK merupakan platform serampang dua mata yang bukan sahaja menyalurkan maklumat terkini mengenai bantuan dan insentif yang ditawarkan oleh RISDA, malah berfungsi sebagai ruang bimbingan untuk membantu pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan.
Beliau berkata RISDA sentiasa mencari jalan terbaik untuk memastikan pekebun kecil tidak hanya bergantung kepada hasil getah semata-mata, sebaliknya berani meneroka bidang keusahawanan dan pertanian integrasi demi kelangsungan ekonomi keluarga.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baba, Andrew Peter Parantis, serta penduduk kampung.
Andrew merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak RISDA Daerah Sandakan atas keprihatinan mereka memilih Kampung Baba sebagai lokasi program, menurutnya pengisian seumpama ini sangat dinantikan oleh penduduk kampung untuk meningkatkan ilmu pengurusan kebun yang lebih sistematik dan moden.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat termasuk penerangan terperinci mengenai skim bantuan penanaman semula, bekalan input pertanian, dan skim insentif produktiviti. Selain itu, ruang soal jawab secara terus antara pekebun kecil dan pihak RISDA turut disediakan bagi menyelesaikan isu-isu teknikal di kebun serta memudahkan semakan status permohonan dan pendaftaran baharu bagi pekebun kecil yang layak.
Pelaksanaan program PKPK ini membuktikan sinergi yang utuh antara agensi kerajaan dan kepimpinan peringkat akar umbi dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar dapat direalisasikan dengan berkesan demi kemakmuran bersama.















Comments