top of page

Sabah OGSE Roadmap fokus perkasa vendor tempatan, bukan pembangunan hiliran minyak dan gas: Ewon

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

23 Julai 2026


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menjelaskan bahawa Sabah Oil and Gas Services and Equipment (OGSE) Roadmap yang sedang dirangka memberi tumpuan khusus kepada pembangunan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas, bukannya pembangunan industri hiliran minyak dan gas.


Beliau berkata, penjelasan itu dibuat susulan kenyataan semasa Sesi Pertanyaan Lisan Hari Kedua Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-17 pada 21 Julai lalu bagi memastikan skop sebenar pelan hala tuju berkenaan difahami dengan tepat.


Menurut beliau, Sabah OGSE Roadmap bertujuan memperkukuh keupayaan, daya saing serta penyertaan syarikat dan vendor milikan Sabah dalam pelaksanaan agenda kandungan tempatan (local content) di sepanjang rantaian nilai industri minyak dan gas.


“Antara objektif utama roadmap ini ialah memperluas peluang syarikat Sabah memperoleh kontrak dalam sektor OGSE, meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan, membangunkan kompetensi serta kepakaran teknikal.


“Selain itu, ia juga menggalakkan pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat utama dalam industri minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan.


Ewon berkata, pembangunan industri hiliran minyak dan gas pula dilaksanakan menerusi usaha berasingan tetapi saling melengkapi bagi menarik, memudah cara dan mempercepat pelaksanaan pelaburan baharu di Sabah.


Katanya, usaha itu bertujuan meningkatkan aktiviti pemprosesan, penghasilan produk bernilai tambah serta penggunaan sumber minyak dan gas secara lebih optimum.


Beliau berkata, Sabah kini mempunyai operasi PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), yang merupakan antara pelaburan utama dalam sektor hiliran minyak dan gas di negeri ini.


Selain itu katanya, pelaburan Loji Gas Asli Cecair Terapung (ZLNG) oleh PETRONAS di SOGIP yang dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2027 dijangka memperkukuh ekosistem industri gas asli dan menyokong pertumbuhan aktiviti perindustrian berkaitan di Sabah.


Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut mempergiat usaha memperluas penggunaan gas asli dalam sektor pembuatan sama ada sebagai sumber tenaga, bahan api industri atau bahan mentah bagi aktiviti pemprosesan berkaitan.


“Langkah ini penting bagi meningkatkan daya saing industri, mengurangkan kekangan kos operasi, menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tambah tinggi serta merangsang pertumbuhan industri pemprosesan dan pembuatan hiliran,” katanya.


Sehubungan itu, Ewon menegaskan bahawa Sabah OGSE Roadmap dan agenda pembangunan industri hiliran minyak dan gas merupakan dua inisiatif yang berbeza dari segi skop, fokus serta pendekatan pelaksanaannya, namun saling melengkapi dalam usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem industri minyak dan gas serta memacu pembangunan sektor perindustrian Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page