DUN Sabah Lulus RUU Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan (Pindaan) 2026
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

23 Julai 2026
KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026.
RUU itu, yang dibentang oleh Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, diluluskan di hadapan Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Al Hambra Tun Juhar selepas dibahaskan oleh enam Ahli DUN.
RUU itu bertujuan meminda Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 1981 bagi menyelaraskan tanggungjawab berkaitan hal ehwal pelabuhan dengan penstrukturan semula portfolio kementerian negeri yang berkuat kuasa pada 3 Dis 2025.
Ewon berkata susulan penstrukturan semula itu, fungsi serta tanggungjawab berkaitan hal ehwal pelabuhan telah dipindahkan daripada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.
Sebelum ini, definisi ‘Menteri’ di bawah Seksyen 2 enakmen berkenaan merujuk kepada menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap perkara berkaitan perhubungan dan kerja raya, menyebabkan tafsiran sedia ada tidak lagi selaras dengan kementerian yang kini mengendalikan hal ehwal pelabuhan.
Ewon berkata pindaan itu tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan negeri dan tidak mengubah dasar, fungsi atau kuasa Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah.
Beliau berkata RUU itu turut mengandungi peruntukan peralihan bagi memastikan semua perbuatan, keputusan, kelulusan dan tindakan yang telah dibuat oleh menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelabuhan sebelum ini kekal sah.
Persidangan DUN Sabah bersambung hari ini. - Bernama















Comments