Rizab margin bekalan air Sabah di bawah 10 peratus – Armizan
11 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PAPAR: Sabah menghadapi masalah bekalan air yang serius dengan rizab margin yang rendah pada tahap 7.3 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata Sabah adalah antara negeri yang mempunyai rizab margin bekalan air paling rendah di bawah 10 peratus, bersama Perlis dan Melaka, berbanding negeri lain yang mempunyai rizab margin lebih baik.
“Kalau kita teliti dalam bandar utama (di Sabah) termasuk kawasan ‘Greater Kota Kinabalu’, kadar rizab margin kita adalah pada kadar negatif maksudnya kita kekurangan sumber air terawat, tetapi ini belum lagi soal kebocoran bekalan air yang menyebabkan bekalan air sampai kepada pengguna lebih teruk,” katanya.
Beliau berkata ini menunjukkan keperluan mendesak untuk membina empangan sebagai sumber air jangka panjang bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.
Tanpa mendedahkan lokasi terlibat, Armizan berkata, kajian awal telah dilakukan dan spesifikasi empangan yang dibina itu akan bergantung kepada lokasi, namun juruperunding projek itu belum dapat memuktamadkan kajian mereka atas beberapa faktor termasuk isu dalam komuniti.
Beliau berkata cadangan pembinaan empangan itu seharusnya bukan hanya melibatkan pembangunan untuk mengatasi isu bekalan air, tetapi ia perlu disertai bersama pakej pembangunan sosioekonomi bagi memanfaatkan penduduk terutama di kampung terkesan dalam pembangunan.
“Dalam sesi taklimat khas tadi diputuskan penubuhan Pasukan Petugas Khas Pembangunan Sosio-Ekonomi Komuniti Kawasan Empangan Papar sebagai pemangkin untuk menyediakan syor dan cadangan untuk pelan pembangunan sosioekonomi komuniti untuk dipanjangkan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan pusat untuk memastikan pembangunan di Sabah tidak tertinggal dan seimbang dengan pembangunan di Semenanjung Malaysia.
Comments