RM130 juta Untuk Naik Taraf Lapangan Terbang Tawau Mulai Tahun Depan
7 Oktober 2024
TAWAU: Lapangan Terbang Tawau (LTT) akan menjalani proses naik taraf dengan peruntukan bernilai RM130 juta, yang dijadualkan bermula pada tahun hadapan .
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sebanyak 16 syarikat kini telah disenarai pendek untuk proses tender bagi melantik kontraktor utama, dengan keputusan muktamad dijangka dibuat pada awal tahun hadapan.
Menurut Loke, kementeriannya berhasrat untuk memulakan projek ini pada suku pertama tahun 2025 dan menyasarkan tempoh siap dalam masa tiga tahun.
Katanya, proses naik taraf ini akan menyaksikan saiz lapangan terbang diperluaskan sebanyak 50 peratus, yang dijangka meningkatkan kapasiti penumpang tahunan dari 1.5 juta orang setahun kepada 2.5 juta orang setahun.
“Projek ini bukan sahaja melibatkan perluasan bangunan terminal, tetapi juga akan melibatkan pengubahsuaian dan penambahbaikan kawasan dalaman lapangan terbang untuk meningkatkan keselesaan dan pengalaman penumpang,” ujar beliau dalam sidang media selepas lawatan kerjanya di Tawau, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa struktur bangunan LTT ketika ini semakin uzur dan memerlukan penambahbaikan yang menyeluruh. Proses naik taraf ini akan menambah keluasan bangunan terminal daripada 15,800 meter persegi kepada 23,500 meter persegi.
Perubahan ini juga akan menyaksikan peningkatan jumlah kaunter daftar masuk penumpang, daripada 12 kaunter kepada 20 kaunter.
“Antara perubahan yang paling ketara ialah keseluruhan terminal akan dilengkapi sistem penghawa dingin sepenuhnya, berbanding sekarang di mana hanya separuh daripada bangunan terminal yang berhawa dingin,” tambah Loke.
Bagi meningkatkan keselesaan penumpang sementara menunggu kerja naik taraf ini disiapkan, kementerian telah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk melaksanakan langkah-langkah jangka pendek. Antaranya ialah penambahan sistem penyejuk udara di kawasan menunggu, yang sering menjadi tumpuan ramai.
Di samping itu, MAHB juga diarahkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan, termasuk menyediakan kakitangan yang fasih berbahasa asing seperti Mandarin dan Arab, bagi memudahkan komunikasi dengan pelancong antarabangsa.
“Kerajaan melihat keperluan mendesak untuk menaik taraf LTT memandangkan ia adalah pintu masuk utama bagi pelancong yang ingin ke destinasi pelancongan popular seperti Semporna.
Tambahan pula, terdapat laporan mengenai kesesakan di lapangan terbang ini akibat pertambahan pelancong luar negara, khususnya dari China,” katanya.
Loke juga menjangkakan peningkatan ketara dalam jumlah pelancong yang akan menggunakan LTT pada tahun ini, didorong oleh kekerapan penerbangan terus dari China ke Tawau.
Komentāri