RM2 juta peruntukan laksana program Jelajah I-Hijau di Sabah
- nabalunews
- Jul 28, 2024
- 2 min read

28 Julai 2024
SEMPORNA: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah memperuntukan sebanyak RM2 juta untuk melaksanakan program Jelajah I-Hijau di tiga buah daerah tahun ini dalam usaha menjaga kelestarian landskap persekitaran di Sabah.
Pembantu Menteri KKTP Sabah, Datuk Isnin Aliasnih berkata, penganjuran program ini adalah selaras dengan matlamat pembangunan mampan bagi mencapai resolusi "Mengubah Dunia Kita : Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan".
Isnin berkata KKTP Sabah memilih tiga buah daerah iaitu Kota Kinabalu, Ranau dan Semporna sebagai lokasi untuk melaksanakan program ini sepanjang tahun 2024.
“Program Jelajah I-Hijau ini akan diteruskan pada tahun hadapan supaya semua rakyat di negeri ini mendapat pengetahuan dan pendedahan mengenai penjagaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jelajah I-Hijau di Dewan Masyarakat Semporna, di sini, semalam.
Menurutnya, program ini adalah sebuah platform melibatkan semua masyarakat untuk sama-sama menyediakan tindakan kolektif demi masa depan kelestarian alam sekitar di Sabah.
Ini kerana perubahan iklim berlaku akibat proses dinamik bumi termasuk pemanasan global dan kajian menunjukkan fenomena ini sebahagian besarnya berpunca daripada kegiatan manusia.
“Kita perlu sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi kemungkinan ancaman bencana alam atau situasi yang ditakrifkan sebagai ‘Kod Merah’ akibat cuaca extreme,” katanya.
Isnin berkata dalam usaha menangani perubahan iklim, semua pihak perlu memikul tanggungjawab bagi memastikan kelestarian generasi sekarang dan pada masa akan datang sentiasa terjamin.
“Kita percaya bahawa kunci menyelesaikan krisis iklim adalah terletak pada pengurangan pelepasan gas karbon dioksida dan transformasi masyarakat bagi menjaga alam sekitar.
“Justeru, saya melihat Program Jelajah I-Hijau ini sangat bersesuaian sebagai suntikan kepada masyarakat terutamanya bagi menangani isu global masa kini,” katanya.
Selain itu, katanya, bagi mencapai matlamat pembangunan mampan, integrasi elemen hijau perlu diambil kira dalam menyediakan pelan landskap.
Turut hadir di majlis ini, Timbalan Setiausaha Tetap KKTP, Stanley Chong; Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew, Ketua Penolong Setiausaha (Landskap) KKTP Nurulhayati Awang More dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Semporna, Ali Adam Hamjah.
Comentarios