top of page

Rogol remaja bawah umur, lelaki dipenjara 13 tahun sebat 3 kali

  • nabalunews
  • Oct 5, 2024
  • 1 min read

4 Oktober 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan sebat 3 kali oleh Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini setelah dia mengaku bersalah merogol teman wanitanya yang berusia 13 tahun, bulan lalu.


Hakim Mahkamah Sesyen, Zaini Fishir @ Fisal menjatuhkan hukuman itu mengikut

Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.


Lelaki itu mengaku melakukan kesalahan itu di bilik tidur ibubapa mangsa di sebuah rumah di sebuah ladang di Beluran pada 21 September lalu antara jam 10.00 malam hingga 12.00 malam ketika ibubapa mangsa sedang tidur di ruang tamu rumah itu.


Menurut fakta kes, sebelum itu, mereka telah berjanji temu di rumah mangsa.


Pada hari kejadian, mangsa telah membuka pintu belakang untuk membenarkan lelaki itu masuk semasa ibubapa pengadu tidur bersama adik-adiknya di ruang tamu rumah.


Kejadian itu terbongkar selepas guru sekolah mangsa mengetahui perbuatan itu dari rakan sekolah mangsa dan seterusnya memaklumkan ibu mangsa.


Laporan polis kemudiannya dibuat dan lelaki berkenaan ditangkap oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan pada 27 September sekitar jam 1.00 pagi.


Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Al Hakim Abdul Razak dan lelaki itu pula tidak diwakili peguam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page