top of page

Rokok seludup bernilai lebih RM21 juta dirampas

  • nabalunews
  • Mar 2
  • 2 min read

2 Mac 2025


KENINGAU: Polis merampas 871 kotak rokok seludup dan tujuh kenderaan bernilai lebih RM21 juta dalam serbuan di sebuah gudang, di Jalan Patikang Ulu, di sini, 28 Februari lalu.


Operasi OPS Taring Daratan yang dijalankan Pasukan Gerakan Khas kira-kira jam 10.30 pagi itu dilaksanakan berkait maklumat kontraban.


Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Yampil Anak Garai berkata, serbuan melibatkan sepasukan 23 anggota dan pegawai kanan polis.

Katanya, sebaik serbuan dijalankan, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki berusia 62 tahun yang disyaki penyelia gudang berkenaan.


“Dengan dipandu arah suspek, pihak polis dibawa ke sebuah ladang sawit tidak beralamat di Jalan Mongitom Bunga Raya Kikiran, di sini.


“Lokasi kedua adalah tempat penyimpanan rokok pelbagai jenis yang disyaki tanpa cukai kastam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Yampil berkata, dalam serbuan kedua itu, pihaknya berjaya menahan tujuh lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 19 hingga 37 tahun.


Katanya, semua yang ditahan dipercayai bertindak sebagai pekerja kedai dan pembantu pengedaran rokok.


“Semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk siasatan lanjut.


"Hasil siasatan awal, semua suspek mengaku terlibat dan menjalankan kegiatan rokok seludup sejak lima bulan lalu," katanya.


Sementara itu, dalam operasi berasingan, pihak polis turut menyerbu sebuah lagi premis kira-kira jam 5.30 petang di Jalan Apin-Apin, di sini.


Katanya, hasil pemeriksaan di dalam bilik rumah berkenaan berjaya menemui sejumlah 280 karton minuman keras pelbagai jenis yang disyaki tanpa cukai kastam.


“Pasukan operasi turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun serta merampas 12 botol minuman keras jenama Roku Jin.


“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM87,801 dan suspek mengaku sebagai “runner” yang telah menjalankan kegiatan mengedarkan minuman keras sejak lebih kurang tiga bulan lalu,” katanya.


Yampil berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page