Rondaan Cegah Jenayah Dipergiat, Polis Dekati Komuniti Labuan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
8 Mac 2026
LABUAN: Balai Polis Lubok Temiang menggerakkan rondaan pencegahan jenayah (RCJ) di beberapa lokaliti panas dalam daerah ini, sebagai langkah proaktif membendung kegiatan jenayah dan lumba haram.
Operasi yang dilaksanakan oleh anggota balai berkenaan itu menyasarkan lebih 12 perkampungan termasuk Petronas Durian Tunjong, dengan pendekatan omnipresence bagi meningkatkan kehadiran polis dan memberi rasa selamat kepada masyarakat setempat.
Kawasan yang menjadi tumpuan rondaan termasuklah Kampung Lubok Temiang, Kampung Tanjung Aru, Kampung Kerupang, Kampung Nagalang, Kampung Pantai, Kampung Durian Tunjung, Kampung Bukit Kuda, Kampung Lajau, Kampung Ganggarak, Kampung Merinding, Kampung Pohon Batu, serta Kampung Batu Manikar.

Sepanjang rondaan dijalankan, anggota polis turut melakukan lawatan ke kawasan perumahan dan premis perniagaan. Masyarakat setempat turut dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap keselamatan harta benda masing-masing dan digalakkan untuk memasang sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak menjadi mangsa jenayah.

Usaha berterusan ini menunjukkan komitmen pihak polis dalam memastikan keselamatan komuniti setempat terus terpelihara, selaras dengan konsep kepolisan masyarakat.











