Rundingan 40 peratus hasil Sabah sudah dimulakan – Fahmi
- nabalunews
- 50 minutes ago
- 2 min read

14 Januari 2026
PUTRAJAYA: Proses rundingan pembayaran 40 peratus hasil bagi negeri Sabah telah dimulakan, dengan komitmen untuk memuktamadkan mekanisme pembayaran dan perincian lain dalam tempoh 180 hari.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat kedua rundingan berhubung tuntutan berkenaan dijadualkan diadakan dalam bulan ini, iaitu dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang.
Menurutnya, ia akan melibatkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah sebagai lanjutan kepada perbincangan awal yang telah diadakan pada November lalu.
“Saya juga telah mendapatkan pengesahan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai jumlah mesyuarat yang telah diadakan dalam tempoh 90 hari yang mana 90 hari daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kinabalu itu berakhir pada hari ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Jelas Fahmi, tempoh 90 hari pertama susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung perkara itu telah berakhir hari ini, selaras dengan keperluan agar proses rundingan dimulakan dalam tempoh berkenaan.
Menurut beliau lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud akan memperincikan kedudukan dan hala tuju rundingan itu dalam masa terdekat.
“Jemaah Menteri telah diingatkan mengenai garis masa pelaksanaan yang telah ditetapkan, khususnya keperluan memulakan proses dalam tempoh 90 hari pertama.
“Berdasarkan keputusan mahkamah, dalam tempoh 180 hari, semua perkara berkaitan pembayaran, mekanisme pelaksanaan serta perincian lain perlu dimuktamadkan dan dipersetujui bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tempoh 90 hari seterusnya masih berbaki dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan rundingan berjalan lancar serta mencapai persetujuan muktamad.
“Komitmen kerajaan adalah untuk menunaikan perjanjian yang telah dimeterai oleh Persekutuan Malaysia, termasuk perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan hak 40 peratus hasil kepada Negeri Sabah,” katanya.


















Comments