top of page

RUU Kerja Sosial 2026 Perkukuh Perlindungan Pekerja & Klien

  • nabalunews
  • Jul 15
  • 1 min read

15 Julai 2026


KOTA KINABALU - Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 oleh Dewan Rakyat kelmarin merupakan satu pengiktirafan bersejarah yang bakal menstrukturkan semula landskap kebajikan dan khidmat kemanusiaan negara secara total.

Pakar Kerja Sosial daripada Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Peter Voo, menyambut baik kelulusan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu anjakan penting ke arah profesionalisme bidang berkenaan.

Menurut Dr. Peter, pelaksanaan Pendaftaran Pengamal Kerja Sosial akan membawa impak serampang dua mata yang amat kritikal bagi pasca-pandemik dan pengurusan isu komuniti semasa.

"Sistem pendaftaran ini bukan sahaja mengiktiraf kepakaran pekerja sosial, malah fungsi standardisasi dan pengawalseliaan di bawah akta baharu ini bertindak sebagai benteng perlindungan undang-undang. Ia melindungi keselamatan pekerja sosial daripada risiko tugas, serta menjamin hak dan privasi penerima perkhidmatan (klien) daripada sebarang bentuk eksploitasi oleh individu tidak bertauliah," jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Peter turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), khususnya Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

"Komitmen jitu Datuk Seri Nancy Shukri dalam mengemudi siri libat urus dan mempertahankan keperluan akta ini di Parlimen amat luar biasa. Usaha murni beliau berjaya mengangkat martabat profesion kerja sosial di Malaysia agar setaraf dengan bidang profesional perundangan dan perubatan," tambah Dr. Peter.

Melalui penguatkuasaan akta ini kelak, Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS komited untuk terus menyokong hasrat kerajaan dengan melahirkan graduan dan pengamal kerja sosial yang kompeten, beretika, serta memenuhi piawaian kompetensi kebangsaan demi kesejahteraan masyarakat mampan.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page