top of page

Sabah alu-alukan kenaikan peruntukan khas interim sementara tunggu tuntutan 40% dimuktamadkan

nabalunews

12 September 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyambut baik kenaikan peruntukan khas interim kepada RM600 juta untuk Sabah mulai tahun depan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini, hari ini.


Hajiji dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengalu-alukan kenaikan interim itu sementara menunggu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dilaksana dan diselesaikan.


"Ini merupakan satu pengiktirafan kepada keperluan pembangunan Sabah dan kuasa kehendak Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan tanggungjawab kepada negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu turut dihadiri oleh Hajiji, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta beberapa barisan jemaah menteri Persekutuan, Sabah dan Sarawak.


Sementara itu Hajiji merakamkan penghargaan atas isu-isu di bawah MA63 yang telah pun diselesaikan termasuk penyerahan kuasa kawal selia dalam mengurus elektrik dan tenaga boleh diperbaharui kepada Sabah awal tahun ini serta penurunan kuasa.


“Saya harap semua isu yang belum selesai akan diusahakan dan dilaksanakan demi kebaikan kedua-dua pihak," tegasnya.


Terdahulu dalam sidang medianya selepas mesyuarat MTPMA63 itu,

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan kadar pemberian khas interim untuk Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan.


Beliau berkara perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini ketika mempengerusikan mesyuarat MTPMA63 yang berlangsung lebih dua jam dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Fadillah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, berkata walaupun kadar itu disemak setiap lima tahun tetapi Perdana Menteri telah memutuskan untuk menaikkan pemberian khas berkenaan lebih awal.


“Tahun lepas telah diumumkan sebanyak RM300 juta untuk setiap negeri. Tadi (dalam mesyuarat MTPMA63) Perdana Menteri memutuskan untuk menaikkan kadar interim ini daripada RM300 juta kepada RM600 juta untuk setiap negeri (Sabah dan Sarawak). Maknanya sekali ganda kenaikan.


“Ini akan bermula pada tahun 2025. Sepatutnya ia diumumkan sewaktu Bajet tetapi Perdana Menteri mengumumkkan dalam mesyuarat kali ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.


Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya serta Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.


Fadillah berkata pengumuman itu hanya melibatkan bayaran interim kerana formula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak belum dimuktamad.


Beliau juga berkata terdapat empat isu belum yang diputuskan pada mesyuarat hari ini termasuk duti setem, pelantar benua dan royalti.


Selain itu, katanya mesyuarat bersetuju supaya perkara dalam kategori agree to disagree dibawa ke peringkat paling tinggi untuk dibincangkan iaitu antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.


Fadillah berkata pihaknya akan mengemas kini hasil perbincangan berkaitan isu itu kepada Perdana Menteri dalam tempoh tiga bulan.


“Kerajaan MADANI sentiasa komited untuk memastikan tuntutan di bawah MA63 diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.


“Perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau dalam platform rundingan lain iaitu Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 bagi memastikan tuntutan yang masih belum selesai tersebut diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page