top of page

Sabah antara negeri paling aktif dalam gerakan koperasi

  • nabalunews
  • Oct 6
  • 2 min read

ree

5 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah mencatatkan sebanyak 75 koperasi baharu didaftarkan setakat 30 Ogos 2025, dengan purata 10 permohonan penubuhan diterima setiap bulan.


Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Noor Afifah Abdul Razak berkata jumlah berkenaan menjadikan Sabah antara negeri dengan pertubuhan koperasi paling aktif di Malaysia.


“Peningkatan ini adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai program kesedaran, pendekatan turun padang serta komitmen Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, dalam menyantuni komuniti luar bandar negeri ini,” katanya.

ree

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar Kepimpinan dan Keusahawanan Koperasi Wanita Sabah 2025 yang disempurnakan Ewon di Hotel Klagan, di sini, pada Ahad.


Noor Afifah berkata, setakat 31 Disember tahun lepas, sebanyak 33 koperasi wanita berdaftar di Sabah melibatkan 1,412 anggota dengan jumlah syer terkumpul RM674,000 dan perolehan keseluruhan sebanyak RM1.33 juta.


Menurutnya, angka tersebut bukan sahaja membanggakan, malah memperlihatkan potensi besar koperasi wanita dalam meyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


“Apa yang lebih penting ialah ialah impak sosial yang dimainkan oleh koperasi wanita dalam membangunkan ekonomi wanita, keluarga serta masyarakat setempat.


“Selain itu, koperasi wanita juga membantu mengenal pasti peluang perniagaan yang bersesuaian dan mesra wanita seperti bidang penjagaan anak, pusta pasca bersalin dan pendidikan khas,” ujarnya.


Terdahulu, seminar selama dua hari anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM dengan kerjasama Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu disertai 150 usahawan wanita dari seluruh negeri.


Noor Afifah berkata, program itu dirangka dengan memberi fokus utama terhadap pendedahan mengenai keusahawanan serta memberi pemahaman mengenai ekosistem koperasi kepada koperator dan usahawan wanita di Sabah.


“Di samping itu, seminar ini juga menjadi platform jaringan strategik untuk menggalakkan penglibatan wanita secara aktif dalam ekonomi melalui koperasi.


“Program ini turut membantu peserta mengenal pasti kemudahan, latihan dan sokongan yang ditawarkan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP serta memperkenalkan peranan ANGKASA sebagai badan induk gerakan koperasi di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa,” jelasnya.


Beliau turut menyatakan keyakinan inisiatif tersebut memberi impak besar dalam memperkasakan peranan wanita dalam pembangunan ekonomi menerusi ilmu keusahawanan dan digitalisasi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page