Sabah dianugerahkan Negeri Paling Cemerlang Malaysia tahun 2024
- nabalunews
- 1 day ago
- 3 min read

20 Julai 2025
KOTA KINABALU: Sabah menerima anugerah Negeri Paling Cemerlang Malaysia untuk tahun 2024 sempena Majlis Anugerah ASEAN International Business Review (IBR), dianjurkan oleh IBR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah Sabah (SICC) di sini pada malam Sabtu.
Pengiktirafan ini berdasarkan penilaian oleh satu panel hakim profesional, yang terdiri daripada tokoh-tokoh terkemuka dari pelbagai bidang, disokong oleh data daripada penilaian menyeluruh yang dilaksanakan oleh penasihat-penasihat pakar.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Hakim anugerah, Datuk Seri Azman Ujang.
Hajiji dalam ucapannya yang disampaikan Masidi berkata, usaha gigih Kerajaan Negeri telah membuahkan hasil apabila Sabah mencatat RM17.41 bilion daripada 73 syarikat melalui kelulusan keseluruhan pelaburan asing dan domestik dalam sektor perkilangan sejak September 2020.
“Daripada jumlah itu, 52 syarikat telah memulakan operasi di Sabah dengan jumlah pelaburan sebanyak RM7.8 bilion dan mewujudkan 3,636 peluang pekerjaan,” ujarnya.
Antara tahun 2022 hingga 2024, Ketua Menteri menyatakan Sabah telah menerima cadangan pelaburan baharu berjumlah RM42.3 bilion, yang dijangka mewujudkan 32,996 peluang pekerjaan.
Beliau berkata, projek tiga fasa bernilai RM31 bilion oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd yang dilancarkan pada lewat Jun tahun ini akan memberi kesan berganda yang bukan sahaja tertumpu kepada teknologi hijau, malah merangsang inovasi serta memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti di Sabah.
Hajiji menyatakan bahawa disebabkan permintaan tinggi daripada pelabur, Kerajaan Negeri telah meluluskan tiga taman perindustrian baharu masing-masing di Kota Belud, Beaufort dan di utara Kudat bagi Taman Perindustrian Ekonomi Biru – semuanya terletak secara strategik untuk merancakkan peluang pelaburan.
“Kami yakin pembangunan ini membawa petanda positif dalam perjalanan Sabah meneroka ufuk baharu untuk merealisasikan potensi sebenar negeri ini.
“Sabah akan sentiasa mesra pelabur dan kami telah melaksanakan dasar-dasar yang mampu menarik lebih ramai pelabur ke sini. Kami komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif, menyokong pelaburan dan merangsang kerjasama.
Laluan baharu AirAsia dari Kota Kinabalu ke Taipei dan Fukuoka adalah satu contoh yang akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan pelaburan, dan kami berharap lebih banyak laluan seperti ini akan dibuka tidak lama lagi,” tambahnya.
Hajiji berkata satu industri yang bakal menjadi pemangkin perubahan besar dan menawarkan peluang pelaburan yang luas untuk Sabah ialah Ekonomi Biru, yang telah diwujudkan di Kudat.
“Industri ini dianggarkan mampu menghasilkan 491,000 tan metrik hasil laut seperti ikan dan udang setiap tahun, dengan nilai mencecah RM3.25 bilion. Namun, Ekonomi Biru bukan hanya tentang perikanan laut dalam,” katanya.
Malah, katanya lagi, terdapat 14 komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai termasuk tenaga laut boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim dan bioteknologi marin, antara lain.
Berhubung tenaga laut, Ketua Menteri berkata salah satu yang paling menarik adalah Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC), yang menjana tenaga daripada lautan.
“Loji kuasa OTEC kita kini dalam perancangan untuk merangkumi sepanjang 500km pesisir pantai dan dijangka mampu menjana 20,000MW tenaga hijau, skala yang belum pernah dicapai di peringkat global. Ini bukan sahaja mencetuskan perubahan besar untuk negara, malah untuk rantau ini,” katanya.
Hajiji berkata dari segi bekalan tenaga, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040, yang dijangka menjana 700MW dalam tempoh 1-2 tahun bagi memenuhi keperluan pelabur dan rakyat.
Begitu juga, katanya, sebanyak RM679.85 juta telah diperuntukkan pada tahun 2024 untuk menangani masalah kekurangan air secara segera, dan pelan jangka panjang termasuklah menyiapkan projek hidroelektrik Ulu Padas yang mampu membekalkan 6,000 juta liter air setiap hari.
Beliau turut menyatakan bahawa Sabah telah banyak melabur dalam pembangunan modal insan, dengan hampir RM1 bilion telah dibelanjakan untuk sektor pendidikan serta pelbagai program pembangunan belia dari 2021 hingga 2024.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri hari ini telah meletakkan asas yang kukuh dalam merealisasikan visi dan hala tuju pembangunan ekonomi yang mantap, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, selama lima tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri telah membina sebuah Sabah baharu yang kuat dan bersatu padu serta mengalu-alukan dunia untuk memanfaatkan kekayaan dan khazanah semula jadi negeri ini demi kehidupan rakyat yang lebih baik.
“Kita ada pelbagai kekayaan, daripada galian seperti emas, tembaga, silika, kelapa sawit, koko dan pelbagai sumber tenaga seperti petroleum mentah, gas, hidroelektrik, arang batu dan banyak lagi.
“Lautan kita pula memberikan hasil laut yang menjadi buruan ramai serta tenaga haba, sambil mengekalkan terumbu karang yang masih asli dan tidak tercemar,” katanya.
Hajiji berkata Sabah telah memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas, yang membolehkan Sabah memainkan peranan lebih besar dan mempunyai hak bersuara dalam industri minyak dan gas di negeri ini sendiri.
“Kita kini mempunyai pegangan ekuiti 50 peratus dalam medan minyak dan gas Samarang, 25 peratus dalam Samur, dan pada 17 Julai 2025, kita telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh 25 peratus ekuiti dalam projek gas asli cecair terapung berhampiran pesisir pantai (ZLNG), juga dikenalai sebagai PFLNG 3 bernilai USD3.1 bilion di Sipitang,” katanya.