top of page

Sabah Electricity laksana catuan di beberapa kawasan susulan permintaan tinggi

  • nabalunews
  • Jul 30
  • 1 min read

ree

30 Julai 2025


KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd dijangka melaksanakan catuan bekalan elektrik secara berjadual bermula 2 petang ini di beberapa kawasan akibat permintaan tinggi susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.


Sabah Electricity menerusi notis makluman hari ini berkata, catuan bekalan elektrik yang dilaksanakan di beberapa daerah secara bergilir-gilir bertujuan menstabilkan sistem grid elektrik dan mengelakkan gangguan bekalan menyeluruh di kawasan terbabit.


“Catuan akan dilaksanakan dalam tempoh antara satu hingga tiga jam secara bergilir-gilir mengikut kawasan, sekiranya keadaan memerlukan,” menurut kenyataan itu.

ree

Katanya, kawasan terlibat adalah Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Tuaran, Kinabatangan, Papar, Sipitang, Semporna serta Tambunan.


Selain itu, Tenom, Kota Marudu, Menumbok, Beluran, Keningau, Ranau dan Pitas.


Menurut Sabah Electricity, bekalan elektrik akan disalurkan semula ke semua kawasan yang terlibat secara berperingkat.


Dalam pada itu, pengguna turut diingatkan supaya menggunakan elektrik secara berhemah serta mengamalkan budaya cekap tenaga bagi membantu mengekalkan kestabilan bekalan di seluruh Sabah dan Labuan.


“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta sokongan orang ramai dalam menghadapi situasi ini,” katanya.


Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan daerah Kota Marudu mengalami gelombang haba apabila mencatatkan suhu panas tahap dua yang boleh mencecah suhu sehingga 40 darjah celcius.


Manakala kawasan Pitas, Beluran, Telupid, Sandakan, Tenom dan Keningau dilaporkan mengalami cuaca panas tahap berjaga-jaga yang boleh mencecah sehingga 37 darjah celcius.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page